Razarudin Husain
PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati seorang rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai tentera upahan Ukraine suka bermain game dalam talian berbentuk peperangan.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki berkenaan yang memiliki pendidikan A Level dan kemudian menyambung pelajaran di peringkat ijazah di sebuah kolej di Petaling Jaya juga dikatakan amat berminat menjadi tentera.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berkenaan telah dibesarkan oleh ibunya di Perlis sebaik sahaja berpisah dengan bapanya.
Beliau berkata, namun bapanya yang tinggal di Kedah tetap memberi wang bagi menyara kehidupan dan pengajiannya.
“Berdasarkan maklumat diperoleh, dia seorang pendiam dan masih bujang serta tidak mempunyai teman wanita dan sahabat rapat.
“Malah sebelum menyertai tentera di Ukraine, dia telah menyambung pengajian di peringkat ijazah di sebuah kolej di Subang Jaya, Selangor dalam bidang perniagaan tahun lalu namun berhenti awal tahun ini kerana tidak berminat untuk belajar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Razarudin mengesahkan seorang rakyat tempatan yang dokumen peribadi miliknya ditemukan di medan peperangan arntara Ukraine dan Rusia, disahkan berkhidmat sebagai tentera upahan asing.
Lelaki berusia 20 tahun terbabit masih hidup dan dilaporkan selamat.
Siasatan PDRM mendapati lelaki terbabit berada di Ukraine sejak April lalu dan menjalani latihan ketenteraan.
Lelaki itu menyertai perang di Ukraine kerana minat dalam ketenteraan dan menerima gaji antara RM 1,700 sehingga RM12,000 (AS400 hingga AS2,700 sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang.
Selain itu, tekanan daripada keluarga turut dipercayai menyebabkan dia sanggup menjauhkan diri daripada keluarga ke negara berkenaan.
Ketika di medan perang, lelaki itu dikatakan tercedera di kaki akibat terkena serpihan dron daripada pasukan tentera lawan.
Bagaimanapun, dia berjaya melarikan diri namun dokumen peribadi termasuk MyKad dan lesen memandunya tercicir.
Setakat ini hanya seorang warga tempatan yang menyertai pasukan ketenteraan Ukraine.
Lelaki terbabit memohon menjadi tentera upahan melalui satu laman sesawang dan mengisinya secara dalam talian.
Malah dia juga memberitahu kepada keluarganya bahawa dia enggan pulang ke Malaysia selain memaklumkan turut terdapat individu dari negara lain turut menjadi tentera upahan Ukraine.
Terdahulu, tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Dokumen itu didakwa ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia
































