SEOUL: Korea Selatan mendenda syarikat induk Facebook, Meta, lebih daripada 21.6 bilion won (RM68 juta) kerana mengumpul maklumat sensitif hampir sejuta pengguna secara haram dan berkongsi data tersebut dengan pengiklan.
Menurut Utusan Malaysia, Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Seoul menyatakan, syarikat itu melanggar undang-undang yang melarang penggunaan maklumat mengenai pandangan politik, kepercayaan agama dan kehidupan seksual individu melainkan dengan kebenaran.
Suruhanjaya itu berkata, gergasi teknologi terbabit mengumpul maklumat sensitif daripada 980,000 pengguna domestik di Korea Selatan melalui profil Facebook mereka.
Ini termasuk maklumat tentang kepercayaan agama pengguna dan sama ada mereka berada dalam hubungan sejenis.
Badan pemantau itu berkata, ia mengesahkan maklumat tersebut diberikan kepada pengiklan oleh Meta, dengan kira-kira 4,000 pengiklan menggunakan data berkenaan.
Meta menganalisis data tingkah laku pengguna, termasuk halaman yang disukai dan iklan yang diklik di Facebook untuk mencipta serta melaksanakan pengiklanan sasaran yang berkaitan ‘tema sensitif’ seperti isu transgender, homoseksualiti dan pelarian Korea Utara.
Susulan itu, suruhanjaya itu memutuskan untuk mendenda Meta sebanyak 21.6 bilion won hari ini.
Ia turut mengarahkan Meta untuk menetapkan asas undang-undang bagi memproses maklumat sensitif, melaksanakan langkah keselamatan dan bertindak balas terhadap permintaan pengguna untuk mengakses data peribadi mereka.
































