GEORGIA: Hampir 25 juta pengundi sudah menunaikan tanggungjawab, sama ada melalui pengundian awal secara langsung atau undi pos, menjelang dua minggu terakhir sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, data penjejakan daripada Makmal Pilihan Raya di Universiti Florida menunjujkkan, beberapa negeri termasuk di North Carolina dan Georgia, mencatatkan rekod pada hari pertama pengundian awal, minggu lepas.
Dalam tempoh terakhir ini, calon presiden Demokrat, Kamala Harris menggiatkan usaha meraih sokongan pengundi dalam sesi town hall di negeri utama, Pennsylvania.
Manakala, pencabarnya dari Republikan, Donald Trump menumpukan kempen di Georgia.
“Jumlah undi di Georgia berada pada paras rekod. Undi di setiap negeri, terus terang berada pada tahap rekod.
“Kami melakukan yang terbaik dan semoga kita dapat memperbetulkan negara ini,” kata Trump pada satu acara keagamaan di Zebulan, Georgia.
Trump, yang menjadikan perhimpunan kempen sebagai ciri utama karier politiknya sejak 2015, berkata pilihan raya kali ini adalah pencalonan terakhir buatnya.
Jika menang pada 5 November ini, beliau akan berkhidmat untuk penggal kedua dan terakhir.
Sementara itu, Harris pula dijadualkan menyertai sesi town hall CNN di Pennsylvania, dalam usaha memujuk baki pengundi yang belum membuat keputusan untuk menyokongnya.
Peratusan keluar mengundi awal yang memberangsangkan direkod ketika pertembungan sengit Harris dan Trump di tujuh negeri paling kritikal, menjelang pilihan raya bulan depan.
Pennsylvania dan Georgia adalah antara tujuh negeri medan pertempuran yang akan menentukan siapa memenangi jawatan Presiden AS, dengan kedua-dua calon dijangka memanfaatkan tempoh baki kempen di kawasan berkenaan.
Dalam tinjauan terbaharu Reuters/Ipsos, Harris mendahului 46 peratus dengan perbezaan tipis berbanding Trump iaitu 43 peratus.
































