Gambar Hiasan
ISTANBUL: Kira-kira 47 individu termasuk doktor dan jururawat didakwa di Istanbul atas tuduhan memberikan rawatan yang tidak sesuai kepada bayi demi mengaut keuntungan.
Menurut Utusan Malaysia, perbuatan kesemua tertuduh menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 10 bayi baru lahir dan dianggap skandal kesihatan terbesar di Turkiye dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Susulan siasatan, Kementerian Kesihatan menutup sembilan hospital swasta, dengan sejumlah 19 institusi kesihatan didapati bertanggungjawab, menurut pendakwaan.
Pendakwa raya berkata, tertuduh membentuk kumpulan jenayah untuk meletakkan bayi baru lahir di hospital swasta tertentu dan menerima bayaran daripada badan keselamatan sosial Turkiye bagi rawatan yang tidak sesuai serta palsu.
Dua daripada suspek, yang bekerja di talian kecemasan, didakwa mencari bayi baru lahir yang boleh dihantar ke hospital tersebut kononnya untuk rawatan rapi, menurut pendakwaan setebal 1,399 muka surat yang difailkan di mahkamah Istanbul, minggu lalu.
Pendakwaan menegaskan, bayi berkenaan menjadi mangsa salah laku perubatan, menyebabkan sebahagian daripada mereka meninggal dunia akibat jangkitan daripada unit tersebut.
“Matlamat kumpulan penjenayah ini adalah untuk mendapatkan keuntungan kewangan, bukan meningkatkan keadaan kesihatan pesakit,” menurut pendakwaan.
Suspek, termasuk dua doktor dan 11 jururawat, menafikan tuduhan tersebut dengan mendakwa mereka tidak sengaja menghantar bayi-bayi berkenaan ke hospital tertentu, selain mangsa menerima rawatan sewajarnya.
Kesemua mereka berdepan pertuduhan membentuk kumpulan jenayah, penipuan, pemalsuan dokumen rasmi dan kecuaian yang mengakibatkan kematian.
Beberapa tertuduh juga bakal berdepan hukuman penjara sehingga 589 tahun jika didapati bersalah.
Parti pembangkang utama, CHP meminta siasatan Parlimen mengenai skandal ini dan mendesak Menteri Kesihatan, Kemal Memisoglu supaya meletak jawatan.
Bagaimanapun, Memisoglu berkata, pemeriksaan hospital kini akan dijalankan dengan lebih ketat berbanding sebelumnya.


































