WASHINGTON: Agensi yang bertanggungjawab mengawal selia keselamatan jalan raya di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan sedang menyiasat sistem perisian pemanduan automatik Tesla.
Menurut Utusan Malaysia, penilaian oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) melibatkan 2.4 juta kenderaan Tesla merangkumi pelbagai model yang dihasilkan antara 2016 hingga 2024.
Tindakan NHTSA ini adalah langkah pertama ke arah sebarang kemungkinan penarikan balik kenderaan yang bakal diambil oleh agensi tersebut terhadap syarikat dikendalikan jutawan teknologi, Elon Musk.
Penilaian awal NHTSA dibuat susulan empat laporan kemalangan melibatkan penggunaan perisian ‘Full Self-Driving (FSD)’ Tesla.
Menurut agensi itu, kemalangan tersebut berlaku dalam keadaan penglihatan jalan raya yang terhad, seperti kabus atau silau matahari.
Satu daripada kejadian itu melibatkan kenderaan Tesla yang merempuh seorang pejalan kaki hingga maut, manakala satu lagi menyebabkan kecederaan, kata NHTSA.
Penilaian ini bertujuan menentukan sama ada sistem pemanduan automatik Tesla dapat mengesan dan bertindak balas dengan tepat mengenai keadaan penglihatan terhad, di samping meneliti jika terdapat kemalangan lain yang berlaku dalam situasi sama.
Dalam notisnya, agensi itu berkata walaupun diberi label ‘pemanduan automatik sepenuhnya’, sistem berkenaan sebenarnya hanya sebahagian daripada sistem automasi pemanduan.
Pengumuman NHTSA dibuat seminggu selepas pelancaran besar-besaran Cybercab oleh Elon Musk di studio Warner Bros. di Burbank, California.
Saham syarikat itu dilaporkan jatuh sebanyak 8 peratus sejak pelancaran Cybercab namun, saham Tesla dilihat kekal stabil selepas pengumuman daripada NHTSA.






























