Marshall Mosher merakam pemandangan luar biasa itu ketika terbang dengan paramotor di kawasan Kompleks Piramid Giza, 14 Oktober lepas.
KAHERAH: Seorang lelaki terkejut selepas menemukan seekor anjing sesat sedang menyalak di atas puncak Kompleks Piramid Giza setinggi 138.5 meter di pinggir bandar Kaherah.
Menurut Utusan Malaysia, Marshall Mosher, seorang atlet pengembaraan profesional yang menjelajah dunia, sedang terbang dengan paramotornya di atas piramid Giza pada 14 Oktober lepas, apabila terserempak dengan pemandangan luar biasa itu.
Menurutnya, melalui rakaman itu Mosher melihat seekor anjing liar duduk bersendirian di puncak Piramid Besar Giza, seolah-olah menyalak ke arah burung yang terbang di atasnya.
Pemandangan luar biasa ini sekali gus menjadi tular selepas ia dimuat naik di akaun Instagramnya.
Sebahagian pengguna media sosial bergurau mengenai anjing tersebut mungkin jelmaan dewa Mesir kuno, Anubis, manakala yang lain bimbang mengenai keselamatan haiwan itu.
Namun, Mosher kemudian memuat naik satu lagi klip yang dirakam di kaki piramid, menunjukkan anjing berani tersebut bersama seekor lagi, sambil menjelaskan terdapat banyak anjing liar di kawasan Giza yang sering memanjat naik dan turun piramid.
Bagaimanapun, tindakan sedemikian dilarang kepada manusia.
Sebelum ini, pelancong dibenarkan untuk mendaki piramid kuno itu, namun Mesir kini melarang amalan tersebut dan sesiapa yang melanggar peraturan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
































