JAKARTA: Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto merancang untuk menambah kira-kira 10 kementerian dan agensi baharu, iaitu satu langkah yang dilihat sebagai cara untuk mencipta jawatan tertinggi bagi ahli politik dalam gabungan partinya.
Menurut Utusan Malaysia, beliau mempertahankan rancangannya untuk memperluaskan agensi-agensi kerajaan sedia ada sambil menegaskan langkah tersebut perlu untuk membentuk pentadbiran yang kuat.
“Saya mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersatu padu dan kuat.
“Gabungan itu mesti besar, dan ada yang akan mengatakan kabinet saya ‘gemuk’,” katanya pada sebuah Forum Ekonomi, kelmarin.
Bagaimanapun, rancangan berkenaan mendapat kritikan meluas pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai membebankan saiz kabinet Prabowo-Gibran di samping bakal menambah tekanan birokrasi.
Dalam masa sama, Prabowo turut memberi bayangan kabinet baharu itu nanti akan mengekalkan ramai menteri dari pentadbiran Presiden Jokowi yang akan tamat tempoh berdasarkan merit.
Kabinet baharu itu akan terdiri daripada golongan bukan ahli politik, wakil-wakil parti, dan berkemungkinan diumumkan sehari selepas majlis angkat sumpah 20 Oktober depan, kata sumber yang rapat dengan Prabowo.
Sumber berkenaan turut menyatakan beberapa ketua dan pegawai kanan parti gabungan akan diberikan kerusi menteri termasuk beberapa penyandang seperti Menteri Tenaga, Bahlil Lahadalia, Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan, dan Menteri Hal Ehwal Agraria dan Tata Ruang/Kepala Badan Pertanahan Nasional, Agus Harimurti Yudhoyono.
Penasihat-penasihat Prabowo turut berkata, beliau merancang untuk mewujudkan sebuah kementerian perumahan bagi melaksanakan matlamatnya menyediakan kira-kira tiga juta rumah setiap tahun, serta sebuah badan pengawal selia karbon, dan memisahkan pejabat cukai dan kastam daripada Kementerian Kewangan bagi mewujudkan sebuah badan hasil negara.
Sebuah agensi pemakanan kebangsaan yang akan melaksanakan program makanan percuma berbilion dolar telah ditubuhkan Prabowo pada Ogos lalu.


































