Donald Trump (kiri) dan Kamala Harris ketika menghadiri debat Presiden anjuran saluran ABC di Pennsylvania, AS.
WASHINGTON: Bekas Presiden, Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang juga calon Presiden Parti Repubikan enggan mengambil bahagian dalam debat televisyen lagi atas alasan ia sudah terlalu lewat menjelang Pilihan Raya Presiden 2024 pada 5 November ini.
Menurut Utusan Malaysia, kengganan Trump itu dibuat ketika Naib Presiden dan Calon Presiden Parti Demokrat, Kamala Harris, telah menerima undangan debat kedua anjuran CNN pada 23 Oktober ini.
Trump bagaimanapun memberitahu sebuah perhimpunan, perdebatan seterusnya sudah terlalu lewat kerana pengundian awal sudah pun bermula di beberapa negeri.
Pasukan kempen Harris berkata, memandangkan bekas Presiden itu mendakwa beliau telah memenangi debat pertama di Philadelphia awal bulan ini, Trump seharusnya menerima undangan tersebut.
Tinjauan pendapat yang dibuat selepas perdebatan tersebut menunjukkan majoriti penonton percaya Harris mengatasi Trump.
Selepas debat pada 10 September lalu, Trump menyatakan tiada lagi debat akan diadakan.
Dalam ucapan beliau di perhimpunan di Wilmington, North Carolina selepas itu, beliau mengaku menang dalam perdebatan tersebut dan menyatakan sudah terlalu lewat untuk debat seterusnya.
“Pengundian telah pun bermula. Harris sengaja mencari peluang kedua kerana beliau sedang kalah teruk,” kata Trump.
Menerusi satu kenyataan, pengerusi kempen Harris-Walz, Jen O’Malley Dillon, menyatakan, rakyat AS layak menonton satu lagi perdebatan antara Harris dan Trump sebelum pilihan raya.
“Selama ini, sesi perdebatan dilakukan sebanyak dua kali. Debat memberi peluang unik kepada pengundi untuk melihat calon-calon mereka bersaing untuk menerajui negara,” kata Dillon.
































