Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan OPR walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat memotong kadar faedah di negara itu. – Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) semalam dijangka tidak akan membuatkan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan dasar kadar semalaman (OPR), kata penganalisis.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, beliau tidak menjangkakan itu terjadi berikutan inflasi negara masih terkawal dan bekalan wang mencukupi.
“Saya tidak merasakan BNM akan menurunkan OPR tahun ini kerana inflasi masih terkawal di Malaysia dan bekalan wang mencukupi dalam pasaran. Selain itu, OPR semasa juga cukup menarik bagi pengurus dana, terutama dari ekonomi-ekonomi maju.
“Dengan kadar kompetitif ini, ia berpotensi untuk menarik pelaburan asing, yang secara tidak langsung akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, penurunan kadar faedah itu memberikan sedikit kestabilan kepada pasaran modal global, dengan reaksi awal berupa pengukuhan bursa saham di seluruh dunia.
“Ini kerana pelabur dan pengurus dana telah sekian lama menantikan pemotongan kadar faedah AS setelah ia dinaikkan sebanyak 11 kali sejak awal 2022, namun dijangka satu lagi pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada November dan menjelang akhir tahun.
“Bursa saham dan nilai ringgit juga dijangka terus mengukuh sehingga akhir tahun, dengan aliran dana asing yang keluar dari AS ke pasaran negara-negara membangun di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
“Bagaimanapun, faktor geopolitik kekal sebagai ancaman utama kepada pertumbuhan ekonomi global dan negara, termasuk kemunculan virus baharu seperti cacar monyet atau Mpox,” katanya.
Fed AS telah memotong 50 mata asas kadar faedah setelah empat tahun tidak menurunkan kadar itu bertujuan meredakan kembali pasaran pekerjaan dan menurunkan kadar inflasi.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan kadar faedah AS dijangka akan terus menjadi pemangkin yang positif kepada sentimen pasaran saham global.
“Ia disebabkan dasar monetari proaktif yang dilihat mampu mengekang potensi kelembapan ekonomi. Justeru itu, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia akan meraih manfaat daripada peningkatan aktiviti perdagangan antarabangsa.
“Terbaharu, angka eksport menunjukkan pertumbuhan sebanyak 12.1 peratus pada Ogos, menjadikannya pertumbuhan dua digit untuk dua bulan berturut-turut. Oleh itu, penurunan kadar faedah dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi global,” katanya.
Menurut Afzanizam, kesan lain daripada penurunan kadar faedah ini adalah peningkatan keyakinan pasaran.
“Fed AS sebelum ini telah memberikan petunjuk yang jelas bahawa mereka sedang dalam proses menurunkan kadar faedah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Langkah ini akan membantu meredakan kebimbangan terhadap inflasi dan memberi ruang kepada pelabur untuk lebih agresif dalam membuat keputusan pelaburan, yang seterusnya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi, termasuk di Malaysia.
“Oleh itu, dari sudut komunikasi ia adalah jelas dan dapat memberi petunjuk bahawa ia dapat mengurangkan kemeruapan pasaran dan juga sentimen pasaran,” katanya.


































