Anwar Ibrahim semasa merasmikan Karnival Segalanya Felda di Felda Sahabat Lahad Datu, hari ini.
LAHAD DATU: Sebahagian besar isu tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan melalui rundingan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, untuk menyelesaikan semua perkara yang telah berlanjutan selama lebih 60 tahun adalah mustahil.
“Sebahagian besar kita telah luluskan, hal ini dah 60 tahun lebih dan apabila saya jadi Perdana Menteri nak suruh selesai esok, tak bolehlah. Sebahagian besar kita selesaikan, cara mana kita selesai, kita runding baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan bukan maki hamun, bukan nafikan.
“Tanggungjawab ini tanggungjawab bersama termasuk kerajaan negeri. Orang yang memimpin negeri tahu. Kenapa masa mereka perintah dulu tak buat secukupnya. Berapa ramai menteri-menteri di Sabah, mana suara mereka dulu?.
“Kalau nak buat, masa kamu perintah..nak buat masa kita ada kuasa. Esok saya dah pencen, marah dan berleter sana sini macam sesetengah orang tak guna dah. Orang akan tanya, dulu masa perintah kenapa tak buat?,” katanya semasa merasmikan Karnival Segalanya Felda di Felda Sahabat, di sini hari ini.
Anwar berkata, jika ada orang yang bertanya kepadanya sekarang, beliau akan lakukan sebaiknya untuk menyelesaikan perkara-perkara yang terkandung dalam MA63.
Itu sebabnya beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin politik agar jangan menghasut rakyat dan teruskan kerja dan khidmat bersama negeri dan Persekutuan.


































