Kekayaan Elon Musk dijangka berkembang pada kadar tahunan purata sebanyak 110 peratus.
LONDON: Hartawan dan pemilik syarikat Tesla, Elon Musk dijangka menjadi trilionair pertama di dunia menjelang 2027.
Menurut Utusan Malaysia, laporan Akademi Informa Connect menyatakan, kekayaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX dan platform X itu dijangka berkembang pada kadar tahunan purata sebanyak 110 peratus.
Beliau juga merupakan individu terkaya di dunia dengan jumlah kekayaan mencecah AS$251 bilion (RM1.08 trilion), menurut Indeks Billionaires Bloomberg seperti yang dilaporkan dalam ‘Trillion Dollar Club 2024’.
Analisis akademik itu menyatakan, pengasas konglomerat perniagaan Gautam Adani dari India akan menjadi individu kedua yang mencapai status trilionair.
Ia dijangka berlaku pada 2028 jika kadar pertumbuhan tahunannya kekal pada 123 peratus.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi Nvidia, Jensen Huang serta mogul tenaga dan perlombongan Indonesia, Prajogo Pangestu juga berpotensi menjadi trilionair pada 2028 jika trajektori kekayaan mereka berterusan.
Pemilik Louis Vuitton yang juga individu ketiga terkaya di dunia, Bernald Arnault dijangka menjadi trilionair pada 2030, sama seperti CEO Meta, Mark Zuckerberg.
Beberapa syarikat sudah pun mencapai penilaian lebih daripada AS$1 trilion, termasuk Nvidia.
Syarikat itu menyertai kelab AS$1 trilion pada Mei tahun lepas, dan pada Jun lalu ia mencapai AS$3 trilion menjadikannya syarikat kedua paling bernilai di dunia selepas Microsoft dan Apple.
Sebelum ini, pengasas dan pemegang saham terbesar Standard Oil, John D Rockefeller diumumkan sebagai bilionair pertama pada 1916.


































