Serangan mengakibatkan bayi lelaki sembilan bulan melecur teruk pada muka dan anggota badan
QUEENSLAND: Polis Australia dan Polis Antarabangsa (Interpol) memburu seorang lelaki yang dipercayai melarikan diri dari negara ini, selepas menyimbah kopi panas terhadap seorang bayi di sini, bulan lalu.
Serangan itu mengakibatkan bayi lelaki berusia sembilan bulan tersebut melecur teruk pada muka dan anggota badan.
Menurut Utusan Malaysia, Polis Queensland telah mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek yang berusia 33 tahun atas tuduhan cubaan menyebabkan kecederaan parah, yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Pihak berkuasa kelmarin mendedahkan, suspek melarikan diri dari Lapangan Terbang Sydney enam hari selepas kejadian dan hanya 12 jam sebelum mereka dapat mengesahkan identitinya.
Dalam kejadian pada 31 Ogos lalu, bayi malang itu bersama keluarganya sedang berkelah di sebuah taman di kawasan pinggir bandar apabila saksi menyatakan, seorang lelaki asing menghampiri dan menyimbah kopi dari termos kepada mangsa sebelum melarikan diri.
Mangsa yang melecur teruk memerlukan beberapa pembedahan dan menurut ibu bapanya, proses pemulihan mungkin memakan masa bertahun-tahun.
Ketua Detektif, Inspektor Paul Dalton memberitahu media, motif kejadian masih tidak diketahui.
Beliau mengesahkan, polis tahu lokasi suspek dan identitinya, namun maklumat tersebut tidak boleh didedahkan pada masa ini kerana boleh menganggu siasatan.
Menurut polis, suspek tidak bekerja di satu lokasi dan sering mengembara ke Australia sejak 2019, namun mempunyai alamat di New South Wales dan Victoria.

































