Sebahagian daripada 30 individu termasuk tiga doktor yang direman di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang berhubung kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso yang melibatkan kerugian sehingga RM2.1 juta.
PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merombak semula proses membuat tuntutan faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) daripada para pencarum agensi itu bagi mengelak berlakunya penipuan.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Steven Sim berkata, rombakan yang akan diteliti lebih lanjut itu bermula daripada proses membuat tuntutan, semak dan imbang sehinggalah ke peringkat akhir.
“Kita bertekad memerangi kegiatan penipuan itu secara habis-habisan kerana peruntukan faedah ini adalah untuk disalurkan kepada pencarum dan waris yang layak,” tegasnya dalam sidang media di Menara Perkeso Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso akan mempertingkatkan pemantauan dalam semua peringkat proses tuntutan bagi memastikan ia berjalan lancar.
Hal itu katanya, termasuk melakukan pemantauan dalam kalangan petugas perubatan, termasuk doktor berikutan kes tuntutan palsu yang melibatkan pakar perubatan di beberapa hospital.
Semalam di GEORGE TOWN: Lebih 30 individu termasuk doktor pakar tulang masing-masing direman antara satu hingga tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pemalsuan tuntutan HUK yang melibatkan kerugian sehingga RM2.1 juta.
Selain tiga doktor berkenaan, turut direman ialah pemohon tuntutan, lapan ejen serta tiga orang ‘runner’.
Difahamkan, dua daripada tiga doktor itu bertugas di dua hospital milik kerajaan manakala seorang lagi doktor bertugas di sebuah hospital swasta sekitar Bukit Mertajam dan Seberang Jaya.
Menurut sumber, iImbuhan daripada tuntutan itu diberikan sebanyak ’50-50′ kepada pihak yang terlibat bermula daripada doktor, ejen dan ‘runner’.
“Modus operandi kartel ini ialah pemohon akan mengemukakan tuntutan palsu melibatkan masalah kesihatan yang dialami pemohon, antara kecederaan yang kerap dikatakan dialami pemohon ialah slip disk dan ligamen krusiat anterior (ACL).
“Dipercayai, seorang doktor boleh mendapat imbuhan sehingga RM10,000 daripada seorang pemohon, bergantung jumlah tuntutan yang dibuat,” ujar beliau.
Selain itu, katanya, terdapat juga senario di mana pemohon tidak mempunyai apa-apa penyakit, namun, mereka tetap mengemukakan tuntutan palsu kepada pemohon.
Di PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedia memberi kerjasama kepada SPRM berhubung penahanan tiga doktor kanan kerana didakwa membuat tuntutan palsu.
“Kementerian juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.


































