Remaja berusia 17 tahun terjun dari sebuah bangunan di kawasan membeli-belah di bandar Yokohama, Jepun dan punca bunuh diri belum diketahui.
YOKOHAMA: Seorang wanita maut selepas dihempap seorang remaja perempuan yang terjun dari sebuah pusat membeli-belah di bandar Yokohama, Jepun untuk membunuh diri.
Menurut Utusan Malaysia, remaja berusia 17 tahun itu dilaporkan terjun dari sebuah bangunan di kawasan membeli-belah yang sesak dan menghempap mangsa yang bersama rakan, dalam kejadian pada Sabtu lepas.
Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan), sebelum remaja disahkan meninggal dunia sejam kemudian, diikuti wanita berkenaan.
Punca remaja tersebut bunuh diri masih belum diketahui.
Statistik rasmi menunjukkan, ramai remaja di Jepun memutuskan untuk membunuh diri pada 1 September, sehari sebelum bermulanya penggal persekolahan, berbanding hari lain.
Tahun lalu, 513 kes bunuh diri melibatkan kanak-kanak direkodkan di Jepun, dengan masalah sekolah dikatakan sebagai faktor utama.
Pelajar yang enggan kembali ke sekolah dikenali sebagai ‘futoko’ atau orang yang tidak pergi ke sekolah.
Alasan utama mengapa futoko mengelak daripada bersekolah, termasuk masalah keluarga, isu peribadi dengan rakan dan buli, menurut tinjauan Kementerian Pendidikan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes tersebut.
Walaupun kadar bunuh diri dalam kalangan penduduk Jepun semakin menurun, trend ini menunjukkan peningkatan bagi kalangan remaja di negara itu.
Bahkan, Jepun adalah satu-satunya negara dalam Kumpulan Tujuh (G7) yang merekodkan bunuh diri sebagai penyebab utama kematian melibatkan golongan remaja.
































