Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengangkat mayat mangsa yang ditemukan hari ini.
LUNDU: Dua mayat daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong yang menjadi mangsa perahu tambang karam di Sungai Batang Kayan, Kampung Selampit di sini pada awal Selasa, berjaya ditemukan semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mengesahkan penemuan kedua-dua mayat pelajar terbabit, yang masing-masing ditemukan pada jam 11.58 pagi dan 5.30 petang.
Katanya, mayat mangsa kedua, seorang pelajar perempuan, Helena Fasha Petrus, 17, ditemukan terapung oleh orang awam lebih kurang satu kilometer dari PKB di sebelah hilir sungai pada jam 5.30 petang ini, sementara mayat pelajar lelaki, Vilkie Wilson, 15, juga ditemukan terapung oleh orang kampung dalam jarak 10 meter berhadapan dengan PKB pada jam 11.58 pagi tadi.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa, pelajar perempuan berusia 14 tahun, Alsma Jithil masih belum dijumpai.
“Operasi pencarian dimulakan pagi tadi dalam lingkungan radius satu kilometer oleh agensi terlibat di bahagian hulu dan hilir sungai, manakala pasukan angkatan tentera membuat pencarian sekitar radius satu kilometer di hulu dan hilir sungai.
“Operasi pencarian hari ini bermula jam 7.30 pagi melibatkan pelbagai agensi termasuk bantuan daripada penduduk kampung,” ujarnya.
Dalam kejadian awal pagi Selasa, tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong Lundu dilaporkan hilang, dipercayai hanyut apabila perahu tambang yang mereka naiki dari pengkalan Kampung Selampit ke seberang sana Sungai Batang Kayan karam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak semalam mengesahkan ketika kejadian perahu tambang terbabit dinaiki seramai 20 penumpang.
Seramai 13 orang pelajar terlibat terdiri daripada tujuh lelaki dan enam perempuan bernasib baik apabila berjaya menyelamatkan diri terdiri.
Katanya, empat orang awam, dua lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa turut terselamat.
Agensi yang terlibat dalam operasi hari ini terdiri daripada pegawai dan anggota dari Balai Polis Lundu, Unit Drone PDRM, anggota Polis Marin, APM, KKM, Angkatan Tentera Malaysia, RELA, Lembaga Sungai Sarawak, seta 80 orang kampung dengan logistik bot polis, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan bot-bot penduduk kampung.
































