Joe Biden mengangkat tangan Kamala Harris dalam Konvensyen Demokrat yang berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat.
CHICAGO: Calon Demokrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris berikrar melawan habis-habisan bagi menewaskan calon Republikan, Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden November ini.
Menurut Utusan Malaysia, pendirian itu ditegaskan Naib Presiden AS itu dalam Konvensyen Parti Demokrat di Chicago yang menjadi medan kempen politiknya dalam persaingan tersebut.
“Marilah kita berjuang demi cita-cita yang kita pegang teguh dan jangan kita lupa, apabila kita berjuang, kita mesti menang habis-habisan,” kata Naib Presiden itu dalam ucapan yang disambut sorakan gemuruh perwakilan Demokrat.
Platform itu sekali gus menjadi peluang Kamala untuk mengetengahkan dirinya sebagai pengganti Joe Biden yang mengambil keputusan menarik sebagai calon Presiden di samping menarik sokongan pengundi atas pagar dan komuniti Islam yang masih berbelah bahagi terhadap pemimpin wanita itu berhubung isu Palestin.
Kemunculan Biden pada konvensyen ini dilihat sebagai simbolik penyerahan kuasa kepada Harris selepas didesak pemimpin Demokrat agar menarik diri susulan daripada prestasi merudum yang ditampilkannya dalam debat bersama Trump pada 27 Jun lalu.
Biden yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden kepada Presiden AS, Barack Obama mengambil keputusan untuk mengundur diri bagi memberi peluang kepada Harris untuk mencipta sejarah sebagai wanita pertama serta individu berketurunan Afrika dan Asia Amerika untuk memegang jawatan tertinggi negara kuasa besar itu.
Dalam pada itu, Biden mengambil kesempatan acara tahunan itu untuk membidas Trump termasuk kegagalan pentadbiran bekas Presiden AS untuk menghormati demokrasi dan undang-undang negara berkenaan.
“Dan jenayah akan terus menurun apabila kami meletakkan pendakwa (Harris) di Oval dan bukannya penjenayah yang disabitkan kesalahan,” katanya merujuk kepada Trump yang pernah dituduh berhubung salah laku sebelum ini.
Biden turut menyelar pendahulunya daripada Republikan kerana memberitahu dunia bahawa AS telah gagal.
“Dia kata kita kalah. Tapi dia yang kalah,” kata Biden sambil menerima tepukan gemuruh perwakilan.
.
































