Gambar Hiasan
TOKYO: Gara-gara gunting hilang di sebuah kedai berhampiran pintu berlepas hilang, sebanyak 36 penerbangan di sebuah lapangan terbang di Jepun terpaksa dibatalkan dan 201 lagi terpaksa ditunda.
Pemeriksaan keselamatan di terminal domestik Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido digantung selama kira-kira dua jam pada Sabtu lepas, menyebabkan ratusan pelancong terkandas.
Berlaku kesesakan di ruang berlepas apabila penumpang terpaksa menjalani semula pemeriksaan keselamatan.
Menurut Utusan Malaysia, BBC melaporkan, pihak berkuasa cuba mencari gunting yang hilang sebelum ditemukan di kedai yang sama pada hari berikutnya.
Walaupun gunting tidak dijumpai pada hari ia dilaporkan hilang, pemeriksaan keselamatan dan penerbangan akhirnya disambung semula beberapa jam kemudian.
Lapangan Terbang Hokkaido, pengendali lapangan terbang New Chitose, mengumumkan semalam bahawa gunting itu dijumpai oleh seorang pekerja kedai pada Ahad.
Pihak berkuasa menjelaskan, mereka menangguh pengumuman itu sehingga mengesahkan gunting yang dijumpai adalah sama dengan yang hilang.
Difahamkan, ramai pengembara yang terjejas oleh pembatalan dan kelewatan penerbangan sedang dalam perjalanan pulang selepas cuti tahunan Bon di Jepun.
































