PETALING JAYA: Organisasi dan individu yang menyumbang dana kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bagi program Diplomasi Orang Utan secara in situ layak mendapat pelepasan cukai.
Menurut Utusan Malaysia, Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, pelepasan cukai termasuk daripada penggiat-penggiat utama industri sawit Malaysia dibuat mengikut Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau berkata, dana yang disumbangkan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai program bagi memelihara dan memulihara orang utan menggunakan pendekatan in situ.
“Antaranya bekerjasama menubuhkan pasukan renjer yang terdiri daripada pakar untuk memantau keberadaan, keselamatan dan keadaan haiwan terancam itu. “
“Dana juga boleh digunakan untuk aktiviti penanaman pokok hutan dan buah-buahan yang menjadi sumber makanan orang utan,” katanya dalam satu kenyataan.
18 Ogos lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika berucap merasmikan sambutan Hari orang utan Sedunia 2024, mengulangi komitmen kerajaan dan industri sawit Malaysia untuk menyokong dan mendukung usaha pemuliharaan Orang utan Borneo.
Beliau dilapor berkata, diplomasi orang utan secara in situ merupakan pendekatan terbaik untuk memperbetulkan persepsi negatif terhadap industri sawit Malaysia.
Beliau juga mempelawa negara-negara pengimport minyak sawit Malaysia untuk menjadikan orang utan sebagai haiwan angkat di bawah program pemuliharaan ini.
Mengulas lanjut, Hairulazim berkata, pemuliharaan orang utan Borneo secara in situ merupakan idea MPOGCF hasil daripada perbincangan dan perkongsian pandangan bersama pakar-pakar pemuliharaan termasuk pemain-pemain industri sawit Malaysia.
Katanya, pendekatan in situ merujuk kepada aktiviti pemuliharaan di habitat semula jadi, sama ada di hutan ataupun tompok hutan di ladang sawit yang dikenali sebagai kawasan High Conservation Value (HCV).
“Menerusi kaedah ini, orang utan bebas untuk bergerak, mencari sumber makanan dan membiak tanpa sebarang gangguan daripada manusia dan aktiviti-aktiviti perladangan.
“Usaha ini membuktikan komitmen tinggi dan murni kerajaan menerusi MPOGCF dan pemain-pemain industri sawit dalam memulihara biodiversiti khususnya dalam landskap perladangan kelapa sawit,’’ katanya.
































