Negara anggota UNSC bersidang di ibu pejabat PBB di New York.
NEW YORK: Negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan perjanjian yang menyasarkan jenayah siber, walaupun mendapat tentangan hebat daripada aktivis hak asasi manusia yang memberi amaran mengenai potensi bahaya pengawasan.
Menurut Utusan Malaysia, selepas tiga tahun rundingan dan sesi terakhir dua minggu di New York, anggota meluluskan Konvensyen Menentang Jenayah Siber PBB melalui konsensus.
Ia akan diserahkan kepada Perhimpunan Agung PBB untuk didaftar secara rasmi.
Kelulusan itu diumumkan diplomat Algeria yang juga pengerusi jawatankuasa penggubalan perjanjian, Faouzia Boumaiza.
“Saya menganggap dokumen itu diterima pakai. Terima kasih banyak, tahniah kepada semua,” katanya yang disambut dengan tepukan wakil anggota.
Jawatankuasa itu ditubuhkan walaupun terdapat tentangan dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, berikutan langkah awal oleh Russia pada 2017.
Perjanjian baharu ini akan berkuat kuasa setelah ia disahkan oleh 40 negara anggota dan bertujuan mencegah serta memerangi jenayah siber dengan lebih cekap dan berkesan, terutama berkaitan imej penderaan seksual kanak-kanak serta pengubahan wang haram.
Namun, penentangnya – satu gabungan luar biasa antara aktivis hak asasi manusia dan syarikat teknologi besar – mengecamnya sebagai skop yang terlalu luasa, dengan mendakwa ia boleh menjadi satu perjanjian pengawasan global serta digunakan untuk penindasan.
Teks yang diterima pakai menetapkan dalam menyiasat mana-mana jenayah yang boleh dihukum penjara minimum empat tahun di bawah undang-undang negara, sesebuah negara anggota boleh meminta pihak berkuasa negara lain untuk mendapatkan sebarang bukti elektronik berkaitan jenayah tersebut serta meminta data daripada penyedia perkhidmatan internet.
































