Aedy Fadly Ramli (tengah) meninjau operasi di kaunter Bahagian Pelesenan Pemandu ketika mengadakan lawatang sulung di Ibu Pejabat JPJ Kedah di Alor Setar.
ALOR SETAR: Pengguna yang menyewa kenderaan tanpa permit sah di mana-mana lokasi termasuk kawasan pelancongan berdepan risiko besar sekiranya terlibat dalam insiden tidak diingini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, tiada perlindungan yang khusus kepada pengguna memandangkan kenderaan tanpa permit yang disewakan itu dimiliki oleh individu persendirian.
“Kita pun sedia maklum perlindungan terhadap kenderaan persendirian hanya akan melindungi pemilik kenderaan dan pemandu yang dibenarkan sahaja.
“Tetapi apabila pemilik kenderaan membenarkan secara tidak sah kereta mereka disewa, risiko akan berlaku kepada penyewa kerana insuran tidak melindungi mereka jika sekiranya berlaku apa-apa kemalangan ataupun insiden tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan sulung ke Ibu Pejabat JPJ Negeri Kedah di sini, hari ini.
Beliau mengulas kegiatan kereta sewa di Pulau Langkawi yang sebahagian tidak memiliki permit sah dan ditawarkan oleh penduduk tempatan sebagai pendapatan sampingan mereka di destinasi pelancongan itu.
Tambah Aedy Fadly, pengguna diingatkan membuat pertimbangan sewajarnya serta berurusan di kaunter-kaunter sah yang terdapat di lapangan terbang dan terminal feri di pulau berkenaan bagi tujuan menyewa kenderaan.
“Kita tahu situasi di Langkawi memang sudah biasa dengan kenderaan sewa dan JPJ pun tidak berhasrat untuk mengganggu perniagaan di sana, cuma kita mengingatkan kepada pengguna untuk memperincikan beberapa risiko jika kenderaan disewa tiada permit.
“Tentang operasi yang dijalankan di Langkawi baru-baru ini pun dilaksanakan setelah kita menerima aduan rasmi daripada pengusaha-pengusaha yang mempunyai permit sah kerana JPJ tidak akan sewenang-wenang dan melulu melakukan operasi di sana,” ujarnya.


































