Pekerja pengurusan mayat lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa proses pembakaran mayat mangsa Covid-19 di Colombo, Sri Lanka.
SRI LANKA: Kerajaan Sri Lanka secara rasmi membuat permohonan maaf kepada penduduk minoriti Islam di pulau itu kerana memaksa pembakaran mayat mangsa Covid-19, semasa fasa kemuncak wabak pandemik tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Sri Lanka mengakui tindakan itu diambil tanpa menghiraukan jaminan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kaedah pengebumian mengikut cara orang Islam adalah selamat.
Kabinet mengeluarkan permohonan maaf mengenai dasar pembakaran wajib semasa pandemik Covid-19, kata kerajaan dalam kenyataan.
Secara tradisinya, orang Islam mengebumikan jenazah mereka menghadap kiblat, manakala majoriti penganut Buddha dan Hindu di Sri Lanka kebiasaannya menggunakan kaedah membakar mayat.
Wakil Muslim di Sri Lanka menyambut baik permohonan maaf itu, namun begitu, seluruh komuniti yang merangkumi kira-kira 10 peratus daripada 22 juta penduduk, masih trauma.
Jurucakap Majlis Muslim Sri Lanka, Hilmy Ahamed berkata, pihaknya akan memfailkan saman terhadap dua ahli akademik, Meththika Vithanage dan Channa Jayasumana yang didakwa berada di sebalik dasar kerajaan mengenai pembakaran wajib berkenaan.
“Kami juga akan meminta pampasan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden, Gotabaya Rajapaksa melarang kaedah pengebumian walaupun pentadbirannya menghadapi kecaman antarabangsa di Majlis Hak Asasi Manusia PBB kerana melanggar norma pengebumian orang Islam.
Dalam buku yang diterbitkan awal bulan ini, Rajapaksa mempertahankan tindakannya dan mendakwa beliau hanya mengikut nasihat pakar daripada Vithanage untuk tidak membiarkan mangsa Covid-19 dikebumikan.
Vithanage adalah seorang pakar sumber asli dan tidak mempunyai latar belakang perubatan.
Rajapaksa menghentikan dasar itu pada Februari 2021, berikutan rayuan Perdana Menteri Pakistan ketika itu, Imran Khan semasa lawatan ke Sri Lanka.


































