PETALING JAYA: Maybank memberi jaminan kepada semua pengguna perkhidmatannya bahawa sistem bank itu kekal selamat susulan terdapat dakwaan penjualan pangkalan data laman utama perbankannya dalam web gelap (dark web).
Menurut Utusan Malaysia, Maybank dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius kebimbangan pelanggan terhadap isu tersebut dan akan terus memantau serta memastikan data dilindungi pada setiap masa.
“Pelbagai langkah sekatan penipuan dilaksanakan, termasuk penggunaan Secure2U untuk mengesahkan transaksi, dan tempoh bertenang didayakan untuk transaksi berisiko tinggi, transaksi dalam talian agar pelanggan kami terus dilindungi.
“Kami ingin mengingatkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat mereka. Sila simpan ID Pengguna, kata laluan, dan butiran peribadi anda dengan selamat. Berhati-hati terhadap perisian berbahaya, mesej WhatsApp, laman pancingan (penipuan) data, dan panggilan telefon yang meminta maklumat anda,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah portal forum pengguna mengenai senarai pangkalan data yang didakwa mengandungi sehingga 22 juta rekod pelanggan Maybank dijual dalam pasaran gelap popular yang dikongsikan di laman X (Twitter).
































