Keadaan mayat seorang lelaki yang ditemukan terdampar di tepi Sungai Jerteh berhampiran sebuah masjid di Jertih, Besut, hari ini.
BESUT: Mayat dipercayai seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terdampar di tepi Sungai Jerteh berhampiran sebuah masjid di bandar ini, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 9.30 pagi dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setakat ini kita belum dapat mengenal pasti identiti mangsa, dan hasil siasatan awal pihak polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah serta tiada sebarang kesan kecederaan ke atas tubuh badan mangsa.
“Mayat berkenaan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
































