Albertine Leo Jia Hui (dua kanan) bergambar bersama ibu dan ahli keluarga yang lain selepas diselamatkan pihak polis semalam.
JOHOR BAHRU: Ibu Albertine Leo Jia Hui, 6, kanak-kanak perempuan yang disyaki diculik, namun ditemukan selamat semalam mengucapkan terima kasih atas doa dan bantuan semua rakyat yang prihatin.
Menurut Utusan Malaysia, ucapan itu dizahirkan Leo Qieo Xin, 37, dalam laman sosial Facebook ahli keluarganya yang turut memaparkan gambar Jia Hui.
“Terima kasih atas perhatian dan kebimbangan semua, kami bersyukur Albertine selamat serta kembali dalam dakapan keluarga.
“Albertine kini selamat, namun dia keletihan dan trauma disebabkan insiden yang berlaku. Kami akan bawa dia pulang untuk berehat dan berkumpul bersama keluarga bagi memastikan keadaannya baik,” katanya.
Jia Hui kini dirawat di Hospital Selayang, Selangor selepas ditemukan sebelum dibawa pulang bertemu keluarganya di negeri ini.
Setakat ini seramai lima individu telah ditahan polis bagi membantu kes berkenaan.
Semalam dalam serbuan awal pagi polis menemukan Jia Hui dikurung oleh seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah hotel.bajet di Batang Kali, Selangor.
































