Wong Kah Woh semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
KUALA LUMPUR: Pindaan undang-undang melibatkan dasar pendidikan wajib dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah dengan tempoh masa 11 tahun persekolahan, dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada 2025.
Bagaimanapun, kerajaan memberitahu, tiada garis masa khusus dalam sesuatu mesyuarat Dewan Rakyat untuk pindaan melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) pada tahun depan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pindaan melibatkan RUU itu belum dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara (AGC).
Katanya, draf berkenaan sedang dibincang dan dimuktamadkan di peringkat dalaman KPM sebelum pihaknya memanjangkannya ke Peguam Negara bagi tujuan semakan dan ulasan perundangan.
“Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari pendidikan rendah hingga pendidikan menengah akan melibatkan pindaan terhadap akta pendidikan.
“Dasar ini sedang dibincang dan dimuktamadkan di peringkat kementerian sebelum dikemukakan ke Peguam Negara seterusnya akan dibentang dalam mesyuarat Jemaat Menteri untuk kelulusan,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Dr. R. Nelson (MIC) berkenaan garis masa pembentangan RUU Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi melaksana dasar pendidikan wajib peringkat sekolah menengah bagi membendung isu keciciran pendidikan dalam kalangan murid.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, RUU bagi mewajibkan rakyat Malaysia mendapat pendidikan sehingga ke peringkat sekolah menengah akan dibentang di Parlimen.
Inisiatif itu adalah antara langkah serius kerajaan dalam menangani masalah keciciran pelajaran, di samping program intervensi lain oleh KPM bagi mengatasi isu berkenaan.
Ironinya, Fadhlina pada di Dewan Negara Mac tahun lalu memberitahu, KPM Sudah menyerahkan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah.
Mengikut Akta Pendidikan 1996, Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun.
Sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Mengikut rekod KPM, kadar keciciran murid dan pelajar sekolah menunjukkan trend penurunan dari 2019 hingga 2022.
Di peringkat sekolah rendah, kadar keciciran murid menurun daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.07 peratus pada 2022, manakala untuk peringkat menengah, kadar keciciran menurun daripada 1.14 peratus pada 2019 kepada 0.99 peratus pada 2022.
Bagi tempoh 2019 hingga 2022 pada peringkat sekolah rendah, keciciran murid melibatkan tahun tiga, empat dan enam menunjukkan peningkatan, manakala tahun dua dan lima menunjukkan tiada keciciran murid dan penurunan dalam tempoh tersebut.
Pada peringkat sekolah menengah pula berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi tingkatan dua dalam tempoh 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan kadar keciciran melibatkan tingkatan tiga, empat dan lima dalam tempoh berkenaan.
Kadar keciciran murid mengikut jantina pada peringkat sekolah rendah menunjukkan tiada keciciran murid perempuan berbanding murid lelaki bagi 2019 hingga 2022.
Pada peringkat sekolah menengah pula kadar keciciran murid lelaki menunjukkan penurunan berbanding kadar keciciran murid perempuan yang meningkat dari 2019 hingga 2022.
Data dari 2019 hingga 2023 menunjukkan sebab utama mendorong murid berhenti sekolah kerana tidak berminat ke sekolah, bekerja, masalah keluarga, berkahwin dan sukar ke sekolah disebabkan faktor jarak.


































