JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, yang dilaporkan hilang di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu ditemukan selamat dan dikurung di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan di lokasi sama.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dibawa lari dengan menaiki sebuah kereta ke Lembah Klang sebelum dikurung di sebuah bilik hotel bajet di Batang Kali.
“Ketika ditemukan tiada kecederaan fizikal dikesan pada mangsa, namun polis akan membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang akbhar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar memberitahu, setakat ini seramai lima individu ditahan, iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 28 hingga 55 tahun.
“Empat suspek, iaitu dua lelaki dan dua wanita telah direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.
“Seorang lagi suspek, iaitu lelaki berusia 31 tahun itu akan direman petang ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tiada sebarang panggilan diterima keluarga mangsa untuk meminta wang tebusan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu menculik dan mengurung secara sulit dan salah serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Kehilangan Jia Hui menjadi tumpuan orang ramai apabila tular dalam pelbagai platform media sosial sejak Sabtu lalu semasa Festival Bon Odori di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri.


































