KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Tahun 2024 melibatkan peruntukan tambahan RM1,004,195,850.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun yang membentangkan Rang Undang-Undang itu berkata, peruntukan tambahan ini adalah mustahak bagi melancarkan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun 2024.
Beliau berkata jumlah peruntukan tambahan bagi tahun 2024 adalah terbahagi kepada enam kategori perbelanjaan.
Katanya kategori perbelanjaan pertama ialah Caruman Kumpulan Wang Pembangunan dan Amanah iaitu sebanyak RM295 juta atau 30 peratus yang merupakan perbelanjaan tertinggi.
Ini diikuti Perbelanjaan Operasi sebanyak RM288 juta atau 29 peratus yang meliputi perbelanjaan penyelenggaraan infrastruktur; perbelanjaan operasi; penyelenggaraan dan pembaikan bangunan kerajaan; perkhidmatan dan pengangkutan logistik; tajaan biasiswa serta Bantuan Khas “One-Off” Tiket Penerbangan Bagi Pelajar di Pusat Pengajian Tinggi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kategori perbelanjaan yang ketiga adalah Perbelanjaan Pentadbiran iaitu sebanyak RM173 juta atau 17 peratus yang melibatkan perbelanjaan bayaran Bantuan Khas Kewangan (Bonus) dan Gantian Cuti Rehat (GCR); Emolumen; perbelanjaan utiliti dan sewaan; serta elaun perbelanjaan sara hidup bagi melicinkan operasi pentadbiran di Kementerian dan Jabatan Negeri yang terlibat.
“Kategori perbelanjaan yang seterusnya adalah di bawah Peruntukan Khas yang melibatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan awam antaranya seperti jalan raya; jeti; loji rawatan air; pertahanan tebing sungai; dewan serbaguna; stadium sukan; masjid dan pasar awam iaitu sebanyak RM101 juta atau 10 peratus. Manakala kategori yang ke lima iaitu Perbelanjaan Pelaburan sebanyak RM80 juta atau 8 peratus adalah bagi pembelian saham untuk menjana hasil tambahan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk dividen. Kategori perbelanjaan terakhir iaitu sebanyak RM64 juta atau 6 peratus disyorkan bagi tujuan pemberian geran antaranya kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am untuk melancarkan pelaksanaan program yang boleh mendukung hasrat dan usaha Kerajaan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan sosial serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Masidi Manjun
Masidi berkata jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM529 juta adalah diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan.
Katanya daripada jumlah tersebut sebanyak RM295 juta atau 55.8 peratus adalah sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan yang tidak melibatkan perbelanjaan sebenar dan caruman kepada Kumpulan Wang Amanah.
“Manakala sebanyak RM124 juta atau 23.4 peratus adalah untuk membiayai pelaksanaan projek infrastruktur dan utiliti; pertahanan tebing sungai; pembinaan dan pembaikan kemudahan awam seperti masjid, pasar awam, dewan serbaguna dan stadium sukan; serta perbelanjaan operasi dan pentadbiran. Sebanyak RM80 juta atau 15.1 peratus pula adalah untuk Pelaburan Ekuiti, Pinjaman dan Pertukaran Kepada Geran untuk Badan Berkanun Negeri, dan sebanyak RM30 juta atau 5.7 peratus bagi menampung keperluan lain seperti perkhidmatan pengangkutan dan logistik, serta penyewaan kenderaan swasta.”
Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya yang diperuntukkan tambahan sebanyak RM204.9 juta untuk membiayai perbelanjaan pembaikan dan penyelengaraan bangunan kerajaan, loji, tangki pemendapan, kontrak konsesi, dan selebihnya untuk menampung perbelanjaan pentadbiran serta operasi.
“Sebanyak RM109.9 juta adalah diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri yang bertujuan untuk membiayai tajaan biasiswa; Bantuan Khas ”One-Off” Tiket Penerbangan Bagi Pelajar di Pusat Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan; serta penyenggaraan masjid, surau, rumah anak yatim dan penyenggaraan tanah perkuburan,” jelasnya.
Beliau berkata Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan pula diperuntukkan tambahan sebanyak RM55.9 juta bagi membiayai penyelenggaraan sistem peparitan, pembersihan sungai dan tebatan banjir, serta perbelanjaan operasi.
Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan diperuntukkan tambahan sebanyak RM32.1 juta antara lainnya untuk Caruman dan Bantuan kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta peningkatan bayaran elaun Ketua-Ketua Adat.
“Kementerian Belia dan Sukan yang diperuntukkan sebanyak RM31.9 juta bagi tujuan menaik taraf Stadium Likas sebanyak RM12.2 juta serta tajaan kepada kontingen Negeri Sabah ke Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak dan Sukan Para Malaysia Sarawak Tahun 2024 sebanyak RM15 juta.
“Manakala bagi Kementerian dan Jabatan Negeri yang lain, sebanyak RM39.9 juta tambahan diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan antaranya Bantuan Kepada Anak-Anak Yatim dan Miskin; Tabung Rayuan Derma bagi bencana alam; tajaan kemahiran para belia serta perbelanjaan pentadbiran dan operasi.”
Masidi berkata perbelanjaan pembangunan memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM230,887,894 yang melibatkan 49 vot peruntukan di bawah 11 buah Kementerian.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM221.93 juta atau 96.1 peratus diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Negeri, manakala sebanyak RM5.51 juta atau 2.4 peratus pula merupakan pembiayaan di bawah Bayaran Balik Persekutuan. Baki sebanyak RM3.45 juta atau 1.5 peratus adalah pembiayaan di bawah Pinjaman Persekutuan.
“Agihan terbesar di bawah Anggaran Tambahan Pembangunan sebanyak RM100.36 juta atau 43.5 peratus diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membiayai Projek Pembangunan Kecil, Peruntukan Khas ADUN dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).
“Peruntukan tambahan sebanyak RM70.46 juta yang merupakan agihan kedua terbesar diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri bagi membiayai Projek Pengambilan Tanah; Projek Pembinaan Semula Bangunan Arkib Jabatan Perhutanan Negeri Sabah; Projek Pembangunan Khas; State Projects Information System 2.0; serta pembinaan masjid dan sekolah agama baharu. Selain itu, tambahan peruntukan sebanyak RM3.45 Juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah adalah bagi tujuan perbelanjaan biayaan Pinjaman Persekutuan.
“Di samping itu, sebanyak RM19.6 juta tambahan diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah bagi membiayai projek-projek Jabatan Kerja Raya yang sedang dilaksanakan dan pembayaran konsesi air di bawah seliaan Jabatan Air Negeri Sabah. Manakala, sejumlah RM10.89 juta disyorkan peruntukan tambahan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan untuk membiayai projek Pembangunan di bawah seliaan Palm Oil Industrial Cluster Sdn. Bhd. (POIC).”
Masidi berkata Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan diperuntukkan tambahan sebanyak RM9.97 juta. Daripada jumlah tersebut, RM4.46 juta diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Negeri untuk membiayai projek-projek Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Perikanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Manakala RM5.51 juta diperuntukkan di bawah Bayaran Balik Persekutuan untuk menampung projek di bawah Jabatan Pertanian Sabah; kerja-kerja pembinaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak; serta Program Rancangan Pengairan.”
Beliau menambah Kementerian Belia dan Sukan Sabah diperuntukkan tambahan sebanyak RM7.15 juta untuk Projek Pembinaan Kompleks Sukan dan Penyelenggaraan Kompleks-Kompleks Sukan Sabah. Manakala, sebanyak RM5.16 juta pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk membiayai Projek Pembangunan Taman-Taman Sabah, Pembangunan Aset-Aset Pelancongan dan juga projek pembangunan di bawah seliaan Jabatan Muzium Sabah.
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat diperuntukkan sebanyak RM4.02 juta bagi Pembinaan Baharu Fasa II Blok Bangunan Pentadbiran dan Kuarters Bertingkat Rumah Warga Tua Air Panas Tawau, pembinaan Hostel Kontena Wisma Wanita dan program-program baharu di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah.
“Sebanyak RM2.89 juta diperuntukkan tambahan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi membiayai projek-projek seliaan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.


































