SYDNEY: Australia menjadi negara pertama yang melarang penjualan vape di luar farmasi, dengan undang-undang baharu berkuat kuasa Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, The Guardia melaporkan, pembuatan domestik, pembekalan, pemilikan komersial dan pengiklanan vape pakai buang dan vape bukan terapeutik diharamkan di bawah langkah pembaharuan, bermaksud vape hanya boleh didapati di kaunter farmasi.
Kepekatan nikotin dan jumlah pengeluaran akan dikawal ketat, dibungkus dengan pembungkusan biasa serta perisanya dihadkan kepada tembakau, mentol dan pudina.
Orang dewasa perlu mendapatkan preskripsi daripada doktor untuk membeli vape terapeutik, tetapi hanya sehingga Oktober, selepas itu hanya kanak-kanak memerlukan preskripsi.
Pembaharuan ini dilakukan selepas undang-undang pada Mac melarang pengimportan vape, kecuali pengimport yang mempunyai lesen dan permit.
Pakar Kawalan Tembakau di University of Sydney, Prof. Becky Freeman berkata, langkah itu adalah fasa pertama daripada rancangan kerajaan.
“Kita memerlukan larangan penjualan runcit ini untuk memastikan undang-undang ini benar-benar berkesan serta membolehkan penguatkuasaan,” katanya.
Menteri Kesihatan Australia, Mark Butler mengisytiharkan vape adalah ‘musuh kesihatan awam’, semalam.
Beliau turut memberi amaran terhadap mana-mana kedai serbaneka atau tembakau yang terus menjual vape, akan dikenakan denda sehingga AS$2 juta (RM9.4 juta) dan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Butler turut mengumumkan penubuhan jawatan baharu kerajaan, Pesuruhjaya Tembakau dan E-rokok Haram yang akan menyelia usaha menyasarkan jualan pasaran gelap serta pembekalan produk nikotin seperti vape dan rokok.
Pada 2012, Australia menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan pembungkusan biasa untuk rokok dengan paparan amaran kesihatan bergambar yang mengerikan.
Langkah itu ditentang oleh industri tembakau tetapi diterima pakai secara meluas di peringkat antarabangsa.


































