Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan keputusan penyasaran subsidi merupakan pandangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut Utusan Malaysia, selain menyifatkan perkara itu sebagai fitnah, beliau menegaskan, semua pihak boleh berbeza pandangan berhubung penyasaran subsidi, namun jangan mencetuskan fitnah dengan mengaitkannya dengan Bank Dunia dan IMF.
Katanya, tohmahan mengaitkan beliau dengan Bank Dunia dan IMF timbul sejak dipecat dari Kabinet pada 1998 dan menyifatkan tuduhan itu tiada asas sama sekali.
“Sejak saya jadi Menteri Kewangan pada 1990, kita adakan dasar belanjawan seimbang. Pada 1993, kita hentikan semua pinjaman daripada Bank Dunia dan IMF sehingga dipecat pada 1998.
“Walaupun saya jadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia-IMF, tidak pernah sekali ambil preskripsi IMF walaupun itu (jadi) tohmahan pada masa itu,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, kelmarin.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada langkah menaikkan harga minyak mempunyai kaitan dengan preskripsi IMF.
Sebaliknya Anwar mendedahkan, pada 1999, bekas Menteri Kewangan telah merujuk Bank Dunia untuk meminta pinjaman daripada institusi kewangan itu.
“Bagaimana saya tahu, ketika saya jadi pensyarah di Universiti Georgetown, saya lihat fail dan ini saya dedahkan kemudian ketika jadi ahli Parlimen bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Pas.
“Ia menyatakan tohmahan puluhan tahun ditelan bulat menjadi fitnah dan digunakan setelah puluhan tahun,” katanya.
Anwar berkata, semua pihak boleh berbeza pendapat dan beliau menerima teguran, tetapi beliau meminta menghentikan semua fitnah tersebut.
Katanya, beliau sewaktu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia-IMF telah menghapuskan hutang negara paling miskin khususnya di Afrika.































