WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan bekas Presiden, Donald Trump kembali berentap dalam debat pusingan pertama di Atlanta, Georgia, menjelang Pilihan Raya Presiden, November ini.
Debat ini menjadi pengukur kemampuan Biden, 81, dan Trump, 78, sebagai calon Presiden AS, memandangkan faktor usia kedua-duanya mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan pengundi.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan menunjukkan, pengundi lebih bimbang dengan umur Biden berbanding calon lawannya dari Republikan.
Namun, jika Trump menang, beliau akan memecahkan rekod Biden sebagai Presiden tertua sebelum tamat penggal.
TERLALU TUA
Menurut tinjauan New York Times/Sienna College, 73 peratus pengundi berdaftar percaya bahawa Biden terlalu tua untuk menjadi presiden yang efisien.
Kaji selidik itu merangkumi pendapat semua kumpulan umur, termasuk mereka yang berusia 65 tahun ke atas.
Manakala, 42 peratus daripada pengundi berdaftar turut berpandangan sama terhadap Trump, walaupun jurang umur dua pemimpin berkenaan hanya tiga tahun.
Pada awal tahun ini, Biden diisytiharkan ‘layak untuk menjalankan tugas’ oleh seorang doktor di White House, tetapi kebimbangan mengenai usianya masih menjadi perhatian sejak beliau mengambil alih jawatan.
Menurut doktor, tanda-tanda penuaan lebih ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk suara bercakap yang lebih lembut, kadang kala pelupa dan ‘langkah kaku’ yang sebahagiannya disebabkan oleh arthritis.
Walaupun pandangan awam terhadap usia Trump tidak seperti Biden, beliau masih berdepan pelbagai soalan mengenai kemampuannya untuk menyandang tugas presiden.
Pada perhimpunan Januari lalu, Trump kelihatan keliru antara saingan utama parti Republikan, Nikki Haley dengan bekas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi selama beberapa minit semasa ucapannya.
Beliau secara tidak tepat mendakwa, Haley ‘bertanggungjawab terhadap keselamatan’ semasa serangan ke atas Kongres pada 6 Januari.
Doktor peribadi Trump pernah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bahawa ujian kongnitif bekas Presiden itu adalah ‘luar biasa’.
Semasa perhimpunan di Pennsylvania pada Sabtu lalu, Trump mendakwa terdapat ‘double standard’ antara layanan media terhadap dirinya dan Biden.
“Jika saya mengucapkan perkataan yang sedikit keliru, mereka kata saya mengalami gangguan kognitif. Sedangkan Biden boleh langgar dinding, jatuh dari pentas dan tangga,” kata Trump kepada penyokongnya.
PENGUNDI MUDA
Debat selama 90 minit bukan sekadar menonjolkan kewibawaan Biden dan Trump dalam melontarkan idea mengenai isu berkaitan ekonomi, konflik antarabangsa serta masa depan demokrasi, bahkan ia menguji kekuatan mental serta fizikal kedua-duanya.
Sebarang kesilapan atau salah bicara boleh mengukuhkan kebimbangan awam mengenai isu faktor usia mereka.
Pengundi muda secara tradisinya merupakan demografi yang lebih penting kepada Demokrat berbanding Republikan dalam pilihan raya negara.
Ahli Strategi Demokrat dan pengasas Run For Something, Amanda Litman menyifatkan debat kedua-dua calon presiden itu boleh ‘membuka mata’ pengundi muda.
“Menurut saya, ini mencerminkan struktur politik yang memberikan keistimewaan kepada generasi lebih tua untuk terus berkuasa dalam waktu yang lama.
“Ini adalah salah satu dari banyak sebab mengapa pengundi muda terutamanya, merasa tidak terlibat. Mereka tidak melihat diri mereka dalam kepimpinan,” kata Litman.
Akauntan, Brandt Williams, 23, berkata beliau sekali lagi akan memberi sokongan kepada Biden untuk Pilihan Raya Presiden 2024.
Williams menganggap Biden seorang negarawan yang berpegang kuat dalam dasar luar negara dan menyokong dasar ekonomi Presiden itu.
Namun, Williams berharap beliau boleh mengundi calon yang lebih muda, bukan sahaja memiliki kecergasan, tetapi boleh mewakili semua rakyat AS, sama ada muda atau tua.
































