Arthur Joseph (tengah ) mendengar taklimat tentang perusahaan cendawan sempena sesi libat urus bersama peladang, penternak dan nelayan di Peladang Outlet, PPK Benut, Pontian.
PONTIAN: Eksport buah durian segar dari negara ini ke China akan bermula September atau Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, eksport berkenaan merupakan sejarah baharu kerana sebelum ini hanya durian sejuk beku yang dibenarkan dieksport ke negara tersebut
Menurutnya, kelulusan tersebut merupakan hasil lawatan Perdana Menteri China, Ling Qiang ke Malaysia baru-baru ini.
“Eksport pertama buah durian sega dijangka pada bulan September atau Oktober tahun ini setelah beberapa perkara berkaitan diperincikan termasuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh negara China.
“Tentunya setiap negara termasuk China mempunyai protokol atau garis panduan berkaitan pengeksportan makanan, terutamanya soal keselamatan dan kebersihan sebelum dibenarkan dibawa masuk
“Langkah ini akan membuka peluang kepada pengusaha atau pekebun durian di negara ini untuk memasarkan buah-buah mereka ke negara China nanti,” katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Johor di Peladang Outlet, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Benut, dekat sini kelmarin yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin dan Pengarah LPP Johor, Amiruddin Bahar dan Pengetusi PPK Benut, Sarkawi Banjar.
Arthur berkata, ketika ini hanya satu peratus daripada 1.3 bilion penduduk China baru mengenali dan menikmati buah durian dengan harganya enam kali ganda berbanding di negara ini.
“Ini satu peluang yang cukup besar kepada mereka yang terlibat dengan industri tanaman durian kerana kerajaan telah merintis jalan bagi memasarkan buah-buahan mereka ke sana,” katanya.
Katanya, pada tahun lalu, eskport buah-buahan tempatan ke luar negara sebanyak RM2 bilion dengan 56 peratus merupakan buah durian termasuk Musang King.
Dalam pada itu, Arthur meminta golongan peladang, penternak dan nelayan segera mendaftar dalam sistem GeoArgop sebagai syarat melayakkan mereka menerima Budi Agri-Komoditi yang merupakan sumbangan wang tunai lanjutan penyasaran semula subsidi diesel.
Katanya, dianggarkan 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.
































