KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai polis diperintahkan membayar ganti rugi RM820,000 kepada dua wanita Mongolia selepas melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mereka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan, empat tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Dr. Mohd. Johan Lee @ John Lee Kien How memutuskan demikian selepas mendapati dua wanita Mongolia terbabit yang dinamakan sebagai NEK dan US berjaya membuktikan kes mereka atas imbangan kebarangkalian terhadap Hazrul Hizham Ghazali.
“Secara ringkasnya, selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan yang tidak dicabar atau disangkal, saya mendapati plaintif (NEK dan US) telah berjaya membuktikan kes atas imbangan kebarangkalian.
“Perlu dinyatakan bahawa defendan (Hazrul Hizham) tidak diwakili peguam selepas peguamnya menarik diri dan tidak pernah hadir sepanjang perbicaraan walaupun telah dimaklumkan oleh bekas peguamnya,” kata Hakim Mohd. Johan.
Bagi NEK, Hakim Mohd. Johan menyatakan, plaintif telah berjaya membuktikan bahawa defendan telah melaku hubungan seks tanpa kerelaannya sebanyak enam kali dan Hazrul Hizham juga boleh dipertanggungjawab atas salah laku gangguan seksual, salah laku mendatangkan kecederaan dan pengurungan secara salah.
Oleh itu, mahkamah memberikan ganti rugi sebanyak RM460,000 kepada NEK merangkumi ganti rugi am mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan sebanyak RM200,000.
Bagi US pula, mahkamah mendapati Hazrul Hizham telah melakukan persetubuhan tanpa kerelaan mangsa sebanyak dua kali dan kurung secara salah.
Oleh itu, mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi berjumlah RM360,000 merangkumi ganti rugi am termasuk mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan sebanyak RM150,000.
Mahkamah turut menetapkan kos RM20,000 bagi setiap wanita Mongolia itu.
Menurut fakta kes, pada 10 April 2020, NEK dan US ditahan pada satu sekatan jalan raya di Petaling Jaya. Pada ketika itu, Hazrul Hizham menjawat jawatan Inspektor. Selepas diarahkan keluar daripada kereta dan dibawa ke khemah polis di sekatan jalan raya itu, defendan telah membawa kedua-dua wanita terbabit ke sebuah hotel di lokasi berhampiran.
Defendan kemudian mengasingkan kedua-dua wanita terbabit di bilik berasingan dan telah melakukan hubungan seks tanpa kerelaan NEK dan US di antara 10 dan 11 April 2020.
Menurut laporan media bertarikh 12 April 2020, kedua-dua wanita itu diselamatkan oleh pasukan polis selepas mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut.
Hazrul Hizham sebelum ini telah didakwa atas 11 pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks, merogol dan mencabul mangsa sama.
Lelaki terbabit bagaimanapun telah dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut di akhir kes pembelaan, sekitar tahun lalu.
































