Teo Nie Ching ketika Sesi Soal Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. – Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan tindakan penguatkuasaan melalui sekatan terhadap 549 laman sesawang yang bersifat lucah.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, satu laman sesawang yang bersifat sumbang juga dikenakan tindakan sama.
Kata beliau, sekatan tersebut dilaksanakan dari 1 Januari hingga 1 Jun lalu.
“Selain daripada tindakan sekatan laman sesawang, MCMC turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan tindakan penurunan kandungan dengan kerjasama platform media sosial seperti Tumblr, X, Telegram, Facebook, Instagram, WhatsApp, Tik Tok dan lain-lain.
“Dalam tempoh sama, 308 kandungan berunsur lucah dan 29 kandungan media sosial yang berunsur sumbang telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang telah dilakukan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Rabu.
Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang memintanya menyatakan tindakan yang diambil dengan tersiarnya video dan gambar lucah di dalam platform media sosial seperti Facebook dan Telegram yang kebanyakannya untuk mempromosikan produk berkaitan seks dan ubat kuat seks.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, sebanyak 19 laman sesawang telah disekat dan 23 kandungan telah diturunkan berdasarkan permohonan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pengiklanan ubat tidak berdaftar.
“Keputusan untuk menurunkan sesuatu kandungan adalah berdasarkan penelitian terhadap terma dan syarat perkhidmatan serta standard komuniti yang dibangunkan penyedia platform.
“Penyedia platform yang berpangkalan di luar negara tidak tertakluk dengan nilai, norma masyarakat dan undang-undang Malaysia serta tidak memahami konteks tempatan dalam kerja penyederhanaan kandungan mereka,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan pengguna media sosial untuk memahami algoritma media sosial yang menganalisis tingkah laku pengguna, kesesuaian kandungan, hantaran terkini, metrik penglibatan dan hubungan antara pengguna.
“Maklumat ini digunakan untuk menentukan apa kandungan yang akan dibekalkan dalam suapan berita atau laman utama pengguna,” katanya.




























