PETALING JAYA : Seorang lagi dalang sindiket bagi mengeluarkan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan diberkas.
Penahanan lelaki berusia 40-an itu dilakukan di Sabah, pada Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, susulan daripada penahanan itu menjadikan dua individu telah ditahan.
Kata beliau, seorang wanita yang ditahan disyaki sebagai dalang dalaman bank manakala lelaki berkenaan merupakan ahli sindiket di luar.
“Kita percaya lebih ramai individu terlibat dalam sindiket pakatan jenayah ini, usaha sedang dilakukan untuk menjejak dan menangkap mereka,”katanya di sini hari ini.
Semalam, polis memaklumkan, seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM 24.2 juta.
Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, Khamis lalu.
Melalui serbuan yang dijalankan, polis turut merampas tiga unit telefon bimbit beserta kad sim, lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM 4,400 dan sebuah komputer riba.
Pada awalnya, polis menerima empat laporan polis berkait kehilangan wang dari akaun simpanan tetap di Petaling Jaya, Selangor pada awal Jun ini.
Pengadu yang terdiri daripada pemilik akaun dan kakitangan bank memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, melibatkan beberapa akaun simpanan tetap di bank tersebut.
Kesemua pemilik akaun yang terlibat menafikan pengetahuan mereka tentang perkara tersebut dan tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran sebagaimana didakwa.
Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.




























