Khairul Firdaus Akbar Khan (dua dari kanan) tertarik hati melihat karakter wayang kulit yang dipamerkan pada Majlis Perasmian SCCIP2024 di UMK Kampus Kota di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan kelmarin
KOTA BHARU: Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026) akan menjadi kayu ukur terhadap usaha Kerajaan Malaysia mengembangkan dan memasarkan produk serta tarikan pelancongan di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, peluang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan Majlis Kerjasama Negara Teluk (GCC) (ASEAN-GCC) pada tahun depan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam merancakkan promosi Visit Malaysia 2026.
“Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu cukup strategik untuk kita merancakkan promosi Visit Malaysia 2026 dan sasaran kita adalah China, India, Asia Barat, Asia Timur, negara-negara di bawah GCC, Australia, Jepun dan Korea
“Untuk pengetahuan semua, ASEAN memberikan potensi besar terhadap kemasukan pelancong ke negara ini ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan The Sustainability In The Creative and Cultural Industries Programme: ASEAN and Beyond (SCCIP2024) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Pengkalan Chepa, di sini kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Khairul Firdaus mengakui, pihaknya menyedari terdapat rakyat Thailand yang hanya mengenali tiga lokasi pelancongan di Malaysia iaitu Pusat Konvensi Kuala Lumpur (KLCC), Tanah Tinggi Genting (Genting Highland) dan Tanah Tinggi Cameron (Cameron Highland).
Katanya, hal ini kerana ketiga-tiga lokasi itu sememangnya telah dijadikan tarikan pelancongan di negara ini sejak sekian lama.
































