Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi dengan China sejak 31 Mei 1974. – PMO
Usaha memastikan warga Malaysia dan China dapat memahami ekonomi kedua-dua negara adalah sesuatu yang amat mustahak bagi masa hadapan Malaysia. Bagi rakyat Malaysia, adalah penting untuk kita memahami ekonomi China sekarang manakala penggubal dasar serta komuniti usahawan China perlu mendapat gambaran jelas tentang peranan unik Malaysia.
Memetik Utusan Malaysia, saiz ekonomi China sangat besar. Setiap tindakannya, sama ada yang dirancang atau kesan sampingannya, memberi kesan kepada ekonomi dunia, termasuk ke atas Malaysia. Ekonomi negara China bernilai AS$17.96 trilion pada 2022.
Untuk perbandingan pada tahun yang sama, ekonomi Amerika Syarikat bernilai AS$25.43 trilion; Jerman AS$4.08 trilion; Jepun AS$4.25 trilion; Korea Selatan AS$1.67 trilion; dan Malaysia AS$0.407 trilion (atau AS$407 billon).
Katakanlah ekonomi China bertumbuh pada kadar lima peratus setahun, bahagian yang mengembang pada tahun yang khusus itu sahaja sudah berjumlah dua kali ganda saiz ekonomi Malaysia.
Hakikatnya, saiz ekonomi China yang besar menyebabkan negara itu tidak begitu memandang sangat terhadap Malaysia sebelum ini. Namun, persaingan geopolitik dan geoekonomi AS-China sekarang menyebabkan Malaysia kini menjadi perhatian di negara itu.
Lima kaedah “tengah”
Apabila bertemu usahawan serta syarikat dari China, saya sering mencadangkan kepada mereka untuk melihat dan memahami Malaysia melalui lima kaedah “tengah”, iaitu lima idea tentang kedudukan serta aspirasi negara kita.
Pertama, Malaysia berada pada kedudukan “tengah” dalam rantaian bekalan global di mana sektor pembuatan kita mempunyai kepakaran dan kemampuan teknikal untuk menghasilkan pelbagai barangan. Ini dapat dilihat jelas dalam sub-sektor elektronik dan elektrikal negara kita.
Kedua, dalam keadaan dunia yang semakin berpecah dua, pendirian serta kedudukan geopolitik Malaysia yang berkecuali dapat menyediakan jalan tengah kepada syarikat-syarikat China dan Barat untuk berdagang.
Ketiga, aspirasi Malaysia untuk mewujudkan masyarakat kelas pertengahan yang kukuh sebenarnya diilhamkan daripada kejayaan China. Pada 2001, China mempunyai 100 juta warga kelas pertengahan, kini ia meningkat kepada 400 juta warga kelas pertengahan.
Keempat, Malaysia mengambil pendirian sederhana di atas jalan tengah berhubung kaum dan agama, yang merupakan dasar serta amalan penting dalam dunia yang semakin terpisah-pisah ini.
Kelima, kedudukan strategik geografi Malaysia di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik amat penting dalam konteks perdagangan dan persaingan geopolitik dunia.
Kelima-lima “tengah” ini adalah saranan nilai Malaysia yang patut dijelaskan kepada komuniti perniagaan China agar mereka mengetahui keadaan sebenar tentang keunikan negara kita.
Malaysia sebagai destinasi ideal untuk perniagaan dan pelaburan
Malaysia merupakan destinasi ideal kepada usahawan serta syarikat China untuk menubuhkan ibu pejabat serantau, pusat pengagihan serantau atau global dan lokasi pembuatan tahap tinggi.
Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berpendidikan, fasih dalam pelbagai bahasa dan menghormati kepelbagaian budaya. Negara kita juga mempunyai rangka kerja Common Law Inggeris dan rangkaian serta infrastruktur logistik yang kukuh, menjadikan Malaysia hampir setaraf dengan Singapura apabila dibandingkan dengan kemampuan yang ditawarkan.
Untuk kolaborasi lebih rapat, Malaysia dan China perlu mendalami perkongsian pelaksanaan bursa saham bersama, perkhidmatan timbang tara, perdagangan dalam mata wang masing-masing dan banyak lagi infrastruktur yang dapat menyelaraskan perdagangan dan perkhidmatan, khususnya operasi ibu pejabat syarikat di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Dengan adanya kemampuan dan kelebihan ini, kita tidak boleh terlalu merendah diri. Saya selalu mengatakan bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi maklumat dengan pelabur China bahawa kita juga mahu pembangunan bermutu tinggi untuk Malaysia seperti mana yang dilaksanakan di China.
Kolaborasi bersama yang berdaya tahan
Pelaburan China di Malaysia sepatutnya menawarkan gaji yang setara dengan apa yang diterima oleh pekerjanya di China (yang kini lebih tinggi daripada yang dibayar di Malaysia). Menurut satu kajian HSBC Global Research, gaji yang dibayar di Malaysia berbanding China pada 2009 adalah 120 peratus tetapi ia merosot kepada 75 peratus sahaja pada 2022. Menaikkan gaji pekerja adalah matlamat utama kita untuk membolehkan Malaysia bergerak maju. Ini dapat dibantu melalui pelaburan baharu dalam sektor-sektor nilai tambah yang tinggi.
Tahap piawaian alam sekitar bagi pelaburan China ke Malaysia juga perlu setara dengan apa yang diamalkan di China. Sejak beberapa tahun lalu, China amat tegas dalam memastikan peraturan alam sekitar dan tahap pelepasan karbon dipatuhi semua syarikat di negara itu.
Malaysia juga mesti berhati-hati dengan kemungkinan pengeluaran berlebihan dalam beberapa industri seperti keluli bagi memastikan kita tidak terikut dengan jejak langkah China di Asia Tenggara. Saya bimbang dengan kemungkinan pertambahan dua kali ganda pengeluaran keluli di rantau ini antara 2021 (75.3 juta tan) dan 2026 (147.2 juta tan), sebagaimana yang dilaporkan oleh South East Asia Iron and Steel Institute. Banyak kilang milik China ini telah mengeksport kembali keluli ke negara mereka bagi menampung keperluan sektor pembinaan. Tetapi keadaan sekarang berbeza kerana keperluan sektor tersebut semakin berkurangan.
Untuk kolaborasi mampan jangka panjang, kerajaan Malaysia perlu menggalak serta membimbing syarikat-syarikat China yang melabur di Malaysia untuk membina rantaian bekalan Malaysia. Ini penting kerana masih ada anggapan salah dalam kalangan usahawan Malaysia dan China bahawa mereka boleh dengan mudah melabelkan semula barangan China atau membawa kesemua rantaian bekalan China ke Asia Tenggara dengan harapan untuk mengelakkan cukai tinggi di Amerika dan Eropah ke atas barangan China.
Pemikiran seperti ini bukan sahaja tidak bijak dan tidak dapat bertahan lama, malah patut dielakkan sama sekali. Perjanjian-perjanjian perdagangan Malaysia dengan rakan-rakan dagangnya yang memberinya kelebihan kepada kita adalah aset penting yang perlu dijaga serta dikekalkan. Inilah cara kita membina rantaian bekalan Malaysia yang mampan bagi memberi faedah kepada semua pihak.
Persaingan antara AS dan China sebenarnya lebih bertumpu kepada teknologi. Dalam bidang ini, ada peluang-peluang untuk hak milik dan hak harta intelek dalam teknologi-teknologi penting. Malaysia boleh mengisi keperluan ruang ini jika kita benar-benar mahu menggerakkan usaha R&D serta mengukuhkan undang-undang harta intelek.
Dunia sedang pesat berubah dan China adalah sebuah ekonomi yang besar. Ia menjadi faktor penentu kepada ekonomi Malaysia dalam tahun-tahun mendatang ini, kalaupun tidak dalam sedekad dua lagi. Malaysia perlu memanfaatkan kekuatannya dan membawa saranan nilainya ke hadapan untuk menghasilkan kolaborasi yang memberi faedah kepada negara dan rakyat Malaysia-China.
Selamat menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China!
Liew Chin Tong ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri.


































