Seekor harimau menjilat Bloodsicles diperbuat daripada daging lembu atau ayam dikisar beku, darah haiwan dan vitamin.
MANILA: Zoo Filipina memberi harimau makanan beku yang diperbuat daripada darah haiwan dan menghalang singa daripada mengawan ketika gelombang haba melanda negara itu.
Cuaca panas luar biasa menyebabkan suhu di ibu negara Manila ke paras tertinggi sejak beberapa hari lalu, memaksa sekolah di seluruh negara kepulauan itu menangguhkan kelas secara bersemuka.
Menurut Utusan Malaysia, ketika orang ramai berpusu-pusu ke pusat beli-belah dan kolam renang berhawa dingin untuk melegakan haba yang melampau, petugas di Zoo Manila bertungkus lumus cuba menyejukkan badan haiwan-haiwan jagaan mereka.
Mencegah strok haba, terutamanya dalam kalangan spesies kucing besar seperti singa dan harimau, menjadi keutamaan apabila suhu mencecah 37 darjah Celsius di bandar itu.
“Air disimbah ke dinding dan tanah konkrit sepanjang hari untuk membantu menurunkan suhu di dalamnya.
“Bloodsicles atau aiskrim yang diperbuat daripada daging lembu atau ayam yang dikisar beku, darah haiwan dan vitamin diberikan kepada kucing besar untuk dijilat,” kata Doktor Haiwan zoo berkenaan, Dave Vinas.
Katanya, harimau dan singa juga kerap disembur dengan air dan berenang di dalam kolam di kandang mereka untuk mengekalkan suhu badan normal.
“Seperti kucing kecil yang kita ada di rumah, mereka perlu tidur sekurang-kurangnya 12 hingga 16 jam sehari. Tetapi pada masa ini kerana cuaca sangat panas, mereka berenang untuk menghilangkan haba dari badan,” kata Vinas.
Gab, seekor singa betina, kelihatan bosan ketika duduk di atas pelantar konkrit bertingkat selepas penjaga zoo mengunci pasangannya, Diego di kandang lain untuk mengelakkan mereka daripada mengawan pada hari yang paling panas.
“Kami tidak mahu mendedahkan haiwan ini untuk mengawan dalam keadaan panas melampau kerana tidak mahu mencetuskan sebarang strok haba,” jelas Vinas.
Air juga dituangkan ke atas kandang yang menempatkan ular dan penyu bagi membantu mengawal suhu badan haiwan berkenaan.






























