Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Perincian lanjut berhubung kenaikan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dibentangkan sepenuhnya pada Belanjawan 2025 yang dijangka Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pengumuman mengenai pelarasan gaji yang menyaksikan kenaikan melebihi 13 peratus itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, ia satu pengumuman positif buat penjawat awam memandangkan kali terakhir kenaikan adalah sekitar 13 peratus.
“Menjadi komitmen Kerajaan Madani (peningkatan gaji) adalah lebih tinggi daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Pekerja 2024 di sini, kelmarin.
Pada masa sama, katanya, Perdana Menteri turut member komitmen kepada pekerja swasta mengenai projek rintis dasar gaji progresif membabitkan 1,000 syarikat tempatan yang akan bermula Jun ini.
Berikutan pengumuman itu, Fahmi berkata, untuk tahun ini ia menyaksikan peningkatan gaji dalam sektor kerajaan dan swasta yang agak tinggi.
Selain itu, Fahmi berkata, apa yang diumumkan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa perjuangan 16.5 juta pekerja di negara ini untuk membanteras rasuah.
“Kerana duit yang dapat diselamatkan itu seharusnya dipulangkan kepada rakyat dan dalam bentuk gaji yang lebih baik atau elaun lebih tinggi. Inilah apa yang diperjuangkan oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ketika berucap pada majlis sambutan Hari Pekerja 2024 berkata, kementeriannya akan memperkenal Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan bagi memacu misi strategik 3K (kebajikan, kemahiran dan keberhasilan) bagi mengangkat martabat pekerja di Malaysia.
Katanya, dasar julung kali dilaksanakan itu mengandungi Tiga Teras, 11 Strategi, 48 Prakarsa, Lima Pemacu Perubahan dan Dua Pemangkin Dasar.
“Dokumen kerangka dasar itu dihasilkan selepas mengambil kira maklum balas pemegang taruh dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, town hall dan portal kaji selidik dalam talian.
“Lebih 2,000 maklum balas telah diterima dan dijadikan pertimbangan untuk menghasilkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini merangkumi pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, gerakan kesatuan sekerja, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh, tenaga kerja golongan rentan seperti wanita, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU).
“Ia juga turut membabitkan hal ehwal pekerja sektor gig, isu-isu berkaitan latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, tenaga kerja asing, kesan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) ke atas pasaran kerja dan sebagainya,” katanya.






























