Muhammad Saifuddin didenda RM23,000 di Mahkamah Sesyen Taiping kelmarin selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik berkaitan nahas udara membabitkan helikopter TLDM, Selasa lalu.
TAIPING: Padah membuat hantaran jelik berkaitan tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas hingga mengorbankan 10 pegawai dan anggota Selasa lalu, seorang peniaga dalam talian didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Muhammad Saifuddin Shafik, 36, juga berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dikenakan ke atas lelaki terbabit selepas membuat pengakuan bersalah di atas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang telah berkahwin itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Twitter menggunakan nama Saifuddin Shafik@saishafik.
Hantaran jelik itu telah dibaca di Gedung Sari Jalan Harmoni, Pusat Bandar Bagan Serai di Bagan Serai pada pukul 6.30 petang, 23 April 2024.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Amin Othman.
Terdahulu, Muhammad Saifuddin menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada ahli keluarga mangsa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat Malaysia yang terkesan dengan hantaran yang dilakukannya.
Menurutnya, dia amat menyesali tingkah laku dan perbuatannya yang diakui tidak wajar dilakukan dalam keadaan negara berdepan tragedi seperti itu.
“Saya sedar semasa membuat ‘posting’ itu dan amat menyesali perbuatan saya. Tidak mungkin saya membuat (hantaran) itu sekiranya saya tidak ada (menghidap) bipolar.
“Saya ingin memohon maaf secara tulus ikhlas kepada ahli keluarga mangsa, ATM dan seluruh rakyat Malaysia. Saya amat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak wajar dilakukan oleh sesiapa pun di dalam keadaan tragedi seperti ini.
“Saya juga rela hati menyahaktif akaun Twitter untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku di masa akan datang,” ujarnya.


































