Hajiji bersalam dengan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam semasa menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke 16 di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri komited dalam usaha menangani isu kemiskinan di negeri ini melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0: 2021-2025 teras M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.
Beliau berkata, perkara ini juga adalah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dalam menoktahkan miskin tegar di Malaysia.
Katanya, secara prinsipnya, pengukuran kadar kemiskinan yang diguna pakai adalah berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk kemiskinan mutlak dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan untuk mengukur kemiskinan tegar.
“Bermula tahun ini (2024), pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742.
“Manakala, Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218,” katanya ketika menjawab pertanyaan Alias Sani (Sekong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Alias bertanya apakah langkah Kerajaan dalam usaha membawa Sabah keluar daripada kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia.
SSMU ambil langkah proaktif
Ketua Menteri menjelaskan, sebagai tambahan kepada definisi kemiskinan sedia ada, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) telah mengambil langkah proaktif dalam memperhalusi definisi kemiskinan tegar di negeri ini melalui 13 indikator tambahan kemiskinan tegar, iaitu pemilikan rumah, pekerjaan, pemilikan tanah, kemampuan membayar perkhidmatan asas, kecacatan fizikal ataupun mental, penyakit kritikal, kenderaan, haiwan ternakan, status pendaftaran kelahiran serta tahap pendidikan.
Katanya, secara asasnya, golongan miskin tegar adalah mereka yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan sendiri berdasarkan kepada indikator negeri Sabah seperti tidak memiliki rumah sendiri, tiada pemilikan tanah untuk diusahakan, masih mengunakan peralatan tradisional dalam kehidupan seharian serta akses kepada pendidikan.
“Justeru, Kerajaan Negeri telah menetapkan locked figure yang direkodkan dalam sistem eKasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah yang melibatkan 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR).
“Dalam usaha Kerajaan Negeri bergerak dalam program kemiskinan tegar ini, data-data yang tepat diperlukan dalam menyokong kepada bantuan intervensi yang bersesuaian untuk disalurkan kepada KIR/AIR yang telah dikenal pasti.
“SSMJ bersama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah telah memulakan kerja verifikasi lapangan data eKasih bagi mengenal pasti padanan bantuan yang bersesuaian kepada golongan miskin tegar di negeri ini.
“Setakat 31 Mac 2024, angka locked figure di dalam sistem eKasih merekodkan penurunan sebanyak 42% yang masih berstatus miskin tegar adalah seramai 12,555 KIR.
“Namun demikian, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima/ ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia/ berpindah ke negeri lain.”
Dua jawatankuasa selaras program kemiskinan tegar
Hajiji berkata, bagi penyelarasan program kemiskinan tegar di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar bagi usaha menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah menjelang tahun 2024 ataupun 2025.
Beliau berkata, Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah akan dilaksanakan secara berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Program jangka masa pendek merangkumi lima program iaitu program MySMJ Profiling, MySMJ Kerja PBT, MySMJ Kerja DO, MySMJ Kerja GLC dan MySMJ Kerja Industri.
“Manakala, program jangka masa sederhana melibatkan lima program, antaranya MySMJ: Tani, MySMJ: Mikro, Rumah Mesra SMJ, MySMJ: Tour dan MySMJ: Care.
“Bagi jangka masa panjang, terdapat dua Program iaitu MySMJ: Modal Insan dan MySMJ: Teroka,” jelas beliau.
Ketua Menteri berkata, secara prinsipnya, bagi tujuan pemadanan atau intervensi bantuan yang bersesuaian kepada miskin tegar, program ini akan meliputi lima aspek utama iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.
“Bantuan atau intervensi ini akan melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, syarikat swasta dan pemain-pemain industri.
“Setakat ini, sebanyak 27 agensi pemberi bantuan telah menyatakan komitmen dalam program ini yang terdiri daripada 10 Kementerian Negeri Sabah, 9 agensi Kerajaan Negeri, 7 agensi Kerajaan Persekutuan dan 1 pemain industri.”
Hajiji berkata, salah satu program di bawah Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah adalah Program MySMJ Kerja.
Jelasnya, faktor akses peluang pekerjaan kepada golongan miskin ini juga telah dikenal pasti dalam isu yang membelenggu golongan ini. Berdasarkan data locked figure, didapati seramai 9,215 KIR ataupun 41% tidak mempunyai sebarang sijil pelajaran.
“Perkara ini, telah mengekang kepada keupayaan KIR untuk mencari peluang pekerjaan sehingga terpaksa melakukan kerja bermusim seperti nelayan, petani dan pekerja buruh di kampung.
“Oleh yang demikian, Program MySMJ Kerja ini akan menumpukan kepada usaha memberikan peluang pekerjaan kepada KIR dan AIR yang berdaftar di dalam sistem eKasih untuk diberikan peluang pekerjaan dalam usaha memberikan sumber pendapatan dan peningkatan ekonomi kepada golongan miskin tegar di negeri ini.
“Sebagai langkah memperkasakan program ini, pihak SSMJ juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 13 Februari 2024 yang lalu.
“Perjanjian ini merupakan kerjasama dalam memperkukuhkan Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah. Kerjasama ini meliputi pelaksanaan Program Social Synergy, Perkongsian Kepakaran Teknologi Maklumat, Program Kesedaran Perlindungan Keselamatan Sosial dan Program Intervensi Pasaran Kerja.
“Perjanjian ini telah menyaksikan kerjasama Sekretariat SMJ dan PERKESO dengan penganjuran Karnival Kerjaya Myfuturejob OKU, TVET dan Miskin Tegar 2024 yang pertama pada 2 Mac 2024 yang lalu bertempat di Dewan Sri Sulaman Tuaran dan telah disertai oleh 15 majikan di negeri Sabah.
“Kerjasama ini juga akan menyaksikan penganjuran mini karnival kerjaya di kawasan pedalaman Sabah dalam usaha memberikan peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar yang tidak mempunyai kemudahan asas untuk ke pekan atau bandar terdekat bagi menghadiri sesi temuduga. Program ini akan dilaksanakan di seluruh daerah sepanjang tahun ini.”
SSMJ jalin kerjasama bersama pelabur dan pemain industri
Ketua Menteri berkata, SSMJ juga telah menjalinkan kerjasama bersama pelabur dan pemain-pemain industri di Sabah dalam usaha memberikan peluang pekerjaan kepada KIR dan AIR miskin tegar di negeri ini. Setakat ini, Syarikat SBH Kibing Solar Sdn. Bhd. telah melantik seramai 71 anak-anak dari golongan miskin tegar pada bulan Januari yang lalu.
Kata Hajiji, syarikat SBH Kibing juga komited untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam melantik golongan miskin tegar dengan beberapa perancangan dan siri temuduga yang telah dirancang pada tahun ini.
“Beberapa siri libat urus juga akan diteruskan dengan hasrat pemain-pemain industri di negeri ini turut serta dalam memberikan peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar dan menyumbang di negeri ini.
“Syarikat Kim Teck Cheong Sdn. Bhd. dan Kumpulan BTC Berhad telah menyatakan komitmen kepada Kerajaan Negeri dalam pelantikan anak-anak miskin tegar di syarikat masing-masing.
“Syarikat berkepentingan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan juga menyokong usaha dalam pemberian pekerjaan kepada golongan miskin tegar di negeri ini.
“Antaranya adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah melantik seramai 12 KIR yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan dan Petugas Keceriaan untuk ditempatkan di Sekolah Agama Negeri Sabah, Yayasan Kebajikan Sabah telah melantik satu KIR sebagai Pemandu dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) juga menyatakan komitmen untuk melantik sebanyak 100 KIR/AIR miskin tegar dan seramai tiga KIR akan dilantik oleh pihak LIGS dalam masa terdekat.
“Seterusnya, pihak Sekretariat SMJ juga telah melantik seramai 73 anak-anak miskin tegar untuk bertugas sebagai Pegawai MySMJ: Profiler dan ditempatkan di seluruh pejabat daerah negeri Sabah.”
Hajiji berkata, beliau juga menyarankan supaya sebahagian daripada wang zakat yang diterima oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) digunakan untuk membasmi miskin tegar di Sabah.
“Saya yakin, agenda dan insiatif Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah akan terus diperhebatkan dengan beberapa perbincangan bagi mewujudkan kerjasama program ini, antaranya dengan Yayasan PETRONAS, SK Nexilis Sdn Bhd, Kumpulan BTC, Kim Teck Cheong Sdn. Bhd., Dewan-Dewan Perniagaan serta pemain industri yang lain.
“Secara prinsipnya, program yang dirangka oleh Kerajaan Negeri adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025 melalui tiga teras utama S: Sektor Utama Pelancongan, Pertanian dan Perindustrian, M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dan J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.”
Menurut Hajiji, Kerajaan Persekutuan juga sedang melaksanakan program pembasmian kemiskinan seperti Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET). Bagi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat, program ini terbahagi kepada empat iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) dan Inisiatif Basmi Miskin Tegar (BMT).
Katanya, antara projek yang sedang dilaksanakan di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat adalah Projek Penanaman Cili Bara secara polybag menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) di Kg. Pelakat, Sipitang, Program Penanaman Nanas MD2 melalui INTAN di Kampung Gana, Kota Marudu serta Projek Rintis Vending Machine di bawah INSAN di Universiti Malaysia Sabah.
Manakala, bagi Program AET pula, Kerajaan melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) melaksanakan program penanaman nanas MD2 di Pulau Banggi.
“Kerajaan Negeri akan terus komited dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan tegar di negeri ini.
“Saya juga berharap dan menyeru agar lebih banyak lagi syarikat-syarikat di negeri ini akan tampil ke hadapan dengan turut serta dan menyumbang kepada Kerajaan Negeri dalam memberikan ruang dan peluang kepada golongan miskin tegar ini dalam usaha merealisasikan Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah menjelang penghujung tahun 2024 atau tahun 2025,” katanya.
























