Bukan tiada yang tidak perasan mengenai perubahan bentuk badannya yang naik mendadak kini jika hendak dibandingkan sewaktu zaman remajanya sebelum ini.
Bahkan, ramai yang mengiyakan bahawa, ketika zaman remaja, Selena Gomez ialah antara kalangan artis Hollywood yang dicemburui ramai kerana kecantikan yang dimiliki. Barangkali kerana darah campuran Itali dan Mexico yang diwarisi daripada kedua orang tuanya.
Namun, seiring waktu dan kini usianya juga telah menginjak ke angka 31 tahun, ramai melihat perubahan ketara pada penyanyi ini yang tidak lagi seperti dahulu.
Menurut Utusan Malaysia, ketika Selena baru-baru ini memuat naik dua keping gambar terkini di Instagram, dia terpaksa memadam semula gambar tersebut gara-gara dikritik kelihatan bukan seperti ‘Selena’.
Bahkan, kerana gambar terbaharu itu, ramai pula dalam kalangan pengikut mula berdebat mengenai kelainan bentuk wajah dan tubuhnya sehingga ada yang mula menyentuh sisi sensitif selain bersikap keterlaluan dalam memberikan komen.
Rasanya, bagi pengikut dan peminat sejati Selena, tentunya sudah lama sedia maklum bahawa penyanyi lagu Love You Like A Love Song dan Love On ini pernah memaklumkan dia menghidap penyakit lupus, penyakit autoimun kronik yang boleh mengancam nyawa.
Bertahun-tahun menderita penyakit tersebut, Selena mencuba berpura-pura menikmati hidup seperti tiada apa-apa berlaku sebagaimana orang normal.
Namun, ada ketika dalam fasa hidupnya, dia juga tidak mampu menipu diri sehingga seringkali berdepan dengan masalah kesihatan mental.
Perkara itu diakui sendiri Selena selain cukup sedar bahawa, sakit yang dialami akan menyebabkannya perlu berdepan dengan masalah berat badan meningkat.
“Saya sedar sedang mengalami perubahan bentuk badan yang ketara dan membawa kepada isu imej apabila berat badan saya kini semakin meningkat.
“Semua ini kerana penyakit lupus yang saya alami termasuk perlu berdepan dengan isu kegagalan buah pinggang dan tekanan darah yang tidak menentu. Jadi, anda boleh nilai bahawa saya secara kesimpulannya, sedang berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan.
“Situasi ini bukan sementara, tetapi saya kena hadapinya sampai bila-bila termasuk mengambil pelbagai jenis ubat sepanjang hayat saya. Jadi,bukan saya tak pernah sedar mengenai perubahan ini. Malah cukup sedar bila setiap kali orang memberikan pandangan jelik terhadap saya,”katanya.
Bagaimanapun, kata penyanyi kelahiran Texas, Amerika Syarikat ini berkata, di sebalik kata nista dan kritikan ramai yang diterimanya itu, selagi boleh, dia mencuba untuk menyebarkan pula kesedaran umum mengenai isu ‘body positivity’.
“Ya, saya sedar saya tidak sempurna. Tetapi, tidak salah untuk dikatakan bahawa saya sangat bangga dengan diri ini.
“Adakala saya juga terlupa bahawa sebenarnya okey untuk menjadi diri sendiri daripada harus mendengar segala macam kata-kata orang.
“Saya percaya kepada rawatan kesihatan saya dan itu adalah apa yang penting. Rawatan kesihatan itulah yang membantu saya untuk menjaga diri,”katanya.
Dalam pada itu, Selena mengakui, bukan mudah untuk bangkit daripada segala kecaman dan kritikan orang ramai namun setelah berusaha bertahun-tahun lamanya, dia sedar, apa yang penting adalah bagaimana dia perlu menyayangi dirinya sendiri.
“Orang ramai boleh berkata apa sahaja tentang kita. Tohmahan, cacian dan makian. Tetapi mereka tidak pernah akan tahu apa kisah sebenar disebalik sesuatu perkara itu.
“Saya harap, sesiapa yang pernah berdepan dengan situasi dimalukan dan dikecam seperti saya, usah mengalah. Bangkitlah dan tepis kata-kata mereka itu dengan membuktikan bahawa kita juga boleh melakukan yang terbaik dalam hidup,”katanya.






























