Hussein Omar Khan (kiri) menunjukkan senjata yang dirampas polis daripada kumpulan penjenayah itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor semalam.
SHAH ALAM: Lima penjenayah yang ditembak mati di Putra Heights, Subang Jaya malam semalam dipercayai telah melakukan 50 samun di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka juga didapati menyasarkan premis kilang dan pejabat terutama syarikat logistik yang mempunyai peti simpanan selain rumah kediaman.
“Kita tidak menolak kemungkinan geng ini ada orang dalam yang memaklumkan mengenai peti keselamatan. Namun hal ini kita masih siasat lagi,” katanya dalam sidang akhbar khas memaklumkan kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.
Dalam kejadian 11.30 malam itu sepasukan polis menembak mati kesemua penjenayah terbabit ketika melakukan rondaan di kawasan terbabit.
Insiden tembak itu berlaku selepas penjenayah enggan memberhentikan kereta Perodua Axia yang dinaiki mereka dan melepaskan tembakan ke arah polis.
Sementara itu, Hussein berkata, penjenayah yang berumur 20-an hingga 30-an itu akan bertindak ganas termasuk mencederakan mangsa samun yang cuba melawan mereka.
“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan seorang suspek mempunyai 16 rekod kes.
“Sama ada mereka menganggotai kumpulan kongsi gelap atau tidak, kita masih lagi siasat,” ujarnya.
Hussein berkata, senjata yang digunakan penjenayah dalam kes tembak itu adalah pistol jenis Revolver dan Semi-Auto.






























