Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kadar baharu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Mac lalu diakui memberi kesan kepada kadar inflasi negara tetapi tidak ketara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun berdasarkan kajian Jabatan Statistik (DOSM), kesan itu tidak ketara kerana peningkatannya dianggarkan 0.2 mata peratus sahaja.
Ini kerana, kadar cukai itu tidak melibatkan semua aspek melainkan aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang kurang membabitkan rakyat secara langsung.
“Saya setuju..memang ada (inflasi meningkat), cuma kalau sekitar dua peratus, ia masih terkawal dan masih rendah. Dan ada pandangan, ada juga kesan kepada rakyat maka sebab itu kita cuba bantu dengan menambah Hak pengeluaran Sendiri (SDR) dan beberapa tambahan yang lain,” kata beliau.
Terdahulu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai SST dari enam peratus kepada lapan peratus.
Mohd Shahar juga meminta Perdana Menteri menyatakan jangkaan jumlah tambahan kutipan hasil negara daripada pelaksanaan semua langkah cukai baharu bagi tahun 2024.


































