Abqaree Fawwaz Abekan
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menghargai pemberian subsidi tiket penerbangan ‘one-off’ sebanyak RM600 oleh Kerajaan Negeri kepada pelajar Sabah yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, keputusan yang dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu bertepatan dengan keperluan golongan mahasiswa daripada negeri ini yang rata-rata datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
“MBS sebelum ini turut mendengar keluhan para pelajar IPT daripada Sabah yang tidak mampu pulang ke kampung halaman terutama sekali semasa musim perayaan.
“Pengumuman yang dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merupakan berita baik kepada anak-anak Sabah yang rata-rata datang daripada keluarga kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abqaree pada masa sama turut menyeru Kerajaan Begeri agar terus komited menyantuni keperluan belia di negeri itu selain memuji langkah terdahulu yang telah diambil oleh Kerajaan seperti Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS), dan Program Dewan Belia Sabah yang telah membawa impak signifikan terhadap pembangunan 2.4 juta belia di negeri tersebut.
Semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama lebih 1,000 orang pelajar IPT Sabah di Pulau Pinang kelmarin, Hajiji mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan secara ‘one-off’ untuk pelajar Sabah yang sedang melanjutkan pelajaran di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan W.P Labuan, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM10 juta daripada peruntukan khas Ketua Menteri.


































