Seorang pekerja zoo memakai kostum harimau putih sewaktu latihan kebakaran dan kecemasan di Zoo Tobu baru-baru ini.
TOKYO: Sebuah zoo di Jepun mengadakan latihan kebakaran dan kecemasan yang menampilkan pekerja memakai kostum haiwan dengan meniru tingkah laku harimau putih cuba menyelamatkan diri.
Menurut Utusan Malaysia, UPI News melaporkan, Zoo Tobu di Bandar Miyashiro mengadakan latihan kebakaran tahunannya dengan seorang penjaga zoo menguji kepakaran dengan berpura-pura menjadi haiwan yang melarikan diri.
Video dari tempat kejadian menunjukkan penjaga zoo itu memakai baju panas dengan wajah harimau di bahagian hud, berkeliaran dengan merangkak manakala pekerja zoo lain melaksanakan pelan tindakan lain untuk haiwan berlindung dan melarikan diri.
Pasukan zoo memasang penghadang jaring dan menggunakan ubat penenang simulasi untuk menundukkan haiwan-haiwan sebelum mengurungnya dengan tali dan mengembalikannya ke kawasan yang selamat.
Ketua Zoo, Masaru Kaminaga berkata, latihan tahunan kebakaran adalah latihan yang penting.
“Sekiranya berlaku kecemasan, adalah penting bagi setiap orang untuk memahami peranan mereka dan bertindak balas dengan sewajarnya,” kata Kaminaga kepada NHK.
































