Armizan Mohd. Ali (kiri) semasa program Jualan Rahmah Ramadan di Papar hari ini.
PAPAR: Peruntukan sejumlah RM20 juta diperlukan untuk membina muka sauk kedua di Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau yang terpaksa ditutup sejak hampir sebulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keperluan membina muka sauk kedua bagi LRA Limbahau ini telahpun dimaklumkan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
“Saya juga akan bawa perkara ini kepada Ketua Menteri dan berharap kerajaan negeri dapat memberikan pertimbangan khas supaya projek ini dapat dilaksanakan pada kadar segera untuk mengelakkan isu ini daripada berulang,” katanya selepas lawatan ke Program Jualan Rahmah Ramadan, di sini hari ini.
Beliau berkata, pembinaan muka sauk kedua itu penting kerana apabila muka sauk sedia ada mengalami masalah seperti yang berlaku sekarang maka, sumber air mentah dari muka sauk kedua di Kampung Kabang itu boleh digunakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, kemarau yang berlaku di Papar sejak dua bulan lalu menyebabkan dua loji di LRA Limbahau terpaksa dihentikan operasi merawat air bermula pada 17 Februari atau 29 hari lalu.
Penutupan itu dilakukan kerana sumber air mentah yang sampai ke muka sauk di kedua-dua loji di Limbahau mempunyai kadar kemasinan yang amat tinggi dengan bacaan tahap kemasinan terkini adalah 4,277 mg per liter berbanding standard piawaian dibenarkan iaitu 120 mg per liter.
Musim kemarau di Papar telah menghampiri dua bulan, dan ditambah teruk lagi dengan kesan fenomena el-nino. Cuaca kemarau ini dijangka berterusan di Papar sehingga hujung bulan Mac ini.
Jelas beliau, penutupan kedua-dua loji LRA di Limbahau itu menyebabkan lebih 50,000 penduduk berhadapan masalah gangguan bekalan air.
Armizan berkata, loji di LRA Limbahau ini pernah ditutup selama 26 hari pada tahun lalu kerana isu yang sama iaitu kadar kemasinan air melebihi piawaian ditetapkan.
Menurut Armizan, esok beliau akan mempengerusikan mesyuarat bersama agensi berkaitan dan pihak swasta untuk tampil membantu melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk di kawasan yang langsung tidak mendapat bekalan air paip.
Malah, cadangan untuk membuat telaga tiub mini juga turut dicadangkan namun, kawasan yang terlibat sedang dikenal pasti. Setakat ini penduduk kampung telah membuat dua telaga tiub sendiri dan pejabat Parlimennya bantu dengan menyediakan pam air.
“Sekurang-kurangnya walaupun ia bukan air terawatt tapi, sekurang-kurangnya ia boleh digunakan untuk keperluan mandi. Saya fikir peruntukan bukan menjadi isu kerana saya akan berusaha untuk membantu,” katanya.
































