Kehilangan MH370 terus misteri tetapi waris tidak berputus asa untuk mengetahui apa punca kehilangan tersebut.
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan waris penumpang Malaysia Airlines MH370 agar tidak meletakkan harapan tinggi dalam usaha mencari kehilangan pesawat itu 10 tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia yang memetik laporan Agensi Berita Jerman (dpa), beliau mengingatkan bahawa waris penumpang yang hilang tidak seharusnya terlalu mengharapkan sebarang kejayaan.
“Saya tidak mahu memberi mereka harapan palsu bahawa kita boleh mendapatkan jawapan,” kata Anwar kepada dpa semasa lawatan ke Jerman.
“Tetapi saya mahu meyakinkan mereka bahawa kita sedang melakukan segala yang mungkin walaupun ia akhirnya menelan belanja ‘dana yang besar’,” katanya.
Kenyataan Perdana Menteri itu dibuat berikutan usaha mencari serpihan pesawat itu diteruskan setelah sebuah syarikat robotik moden menyatakan kesediaan untuk meneruskan pencarian pesawat itu.
Seramai 239 orang termasuk lebih 150 warga China dan 50 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat itu yang hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dan dianggap sebagai satu daripada misteri paling menghantui dunia penerbangan.
Beberapa hari sebelum ulang tahun ke-10 tragedi MH370 bulan ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa pencarian baharu untuk serpihan pesawat itu akan dilancarkan oleh firma Amerika Syarikat, Ocean Infinity.
Anwar berkata, keputusan mungkin akan diambil dalam beberapa minggu akan datang, selepas menyemak cadangan oleh syarikat yang berpangkalan di Texas itu.
Perdana Menteri yang merupakan Ketua Pembangkang pada tahun 2014 berkata, beliau sendiri terkejut dengan kehilangan pesawat itu.
“Saya tidak faham pada zaman ini, bagaimana fasiliti logam yang besar seperti itu boleh hilang begitu sahaja,” kata Anwar.
































