Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih meneruskan perjuangan mara ke separuh akhir selepas membenam pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England, hari ini.
PETALING JAYA: Hanya beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih meneruskan perjuangan mara ke separuh akhir selepas membenam pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, gandingan No. 5 dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-11 ke atas Shohibul-Bagas yang menghuni ranking No. 9 dunia.
Kemenangan tersebut juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas beregu Indonesia itu menjadi 5-0.
Pada separuh akhir yang dijangka berlangsung sekitar pukul 3 pagi esok waktu Malaysia, Aaron-Wooi Yik bakal menghitung pertemuan dengan pasangan No. 15 dunia, Lee Jee Huei-Yang Po Hsuan.
Beregu Taiwan itu mara ke peringkat empat terbaik selepas mengetepikan gandingan ke-30 dunia dari Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-13, 21-17.
Aaron-Wooi Yik berpeluang cerah untuk mara ke perlawanan akhir jika rekod pertemuan antara kedua-dua beregu diambil kira yang menyaksikan pasangan Malaysia itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Jee Huei-Po Hsuan sebelum ini.
Kali terakhir beregu lelaki negara memenangi gelaran di All England ialah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.
Sekiranya Aaron-Wooi Yik berjaya ke final, mereka bukan sahaja memperbaiki pencapaian sendiri mara ke separuh akhir pada 2019, tetapi turut berpeluang menamatkan penantian Malaysia untuk merangkul gelaran menerusi beregu lelaki dalam tempoh 17 tahun.
Kejayaan itu juga bakal menyaksikan Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran kedua dalam Jelajah Dunia selepas Terbuka Denmark dan yang pertama untuk kejohanan berstatus Super 1,000.
Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki, wakil negara, Lee Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia tunduk kepada pemain muda India, Lakshya Sen 22-20, 16-21, 19-21.
































