PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah diterbitkan oleh Google semalam (15 Mac 2024).
“Maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar,” tegas bank pusat itu dalam kenyataan.
Menurut Utusan Malaysia, BNM memaklumkan, semalam, kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi dan 4.7045 pada pukul 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.
“Sepanjang dua minggu yang lalu (1 – 15 Mac 2024), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76% berbanding dengan dolar AS,” jelasnya lagi.
BNM berkata, inisiden ini kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun ini.
Kata BNM, pihaknya telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024.
“Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku dan langkah-langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya.
BNM menasihatkan orang ramai supaya merujuk data rasmi termasuk data daripada BNM.
“Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit,” katanya.
































