KOTA KINABALU: Insiden kemiskinan di Sabah boleh ditangani dengan berkesan sekiranya 40 peratus bahagian hasil bersihnya yang diperoleh daripada negeri ini dipulihkan, kata Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, pendedahan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat tahu apa yang perlu dilakukan untuk negeri ini dan dana serta peruntukan yang mencukupi adalah penting.
Oleh itu Joniston berkata, Kerajaan Pusat harus mempercepatkan pemulihan hak Sabah kepada 40 peratus bahagian hasil bersih negeri dan kawalan ke atas sumber minyak dan gasnya.
“Kerajaan Negeri akan berusaha untuk kepentingan rakyat, tetapi kita perlu sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan dalam hal ini.
“Dengan menunjukkan mereka tahu apa yang diperlukan untuk membasmi kemiskinan di Sabah, saya percaya adalah wajar bagi Kerajaan Persekutuan memulihkan hak negeri.
“Dengan menidakkan negeri apa yang menjadi hak kita, Sabah akan terus bergelut untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, mendapat kemudahan asas, infrastruktur dan pembangunan yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Joniston Bangkuai
Joniston berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah menghasilkan pelan induk komprehensif yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di mana hasilnya mungkin memerlukan sedikit masa.
Dalam komitmennya terhadap slogan “Sabah Maju Jaya”, Joniston berkata, Kerajaan Negeri GRS-PH Plus secara konsisten meneruskan usaha untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan di negeri itu.
Memetik contoh, beliau berkata, Kerajaan GRS-PH Plus telah meluluskan 20 unit rumah Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar yang memerlukan, satu komitmen yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Beliau seterusnya berkata, di bawah Kerajaan sekarang, peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah meningkat daripada RM2 juta kepada RM3 juta.
Peningkatan ketara ini, tambahnya, menangani keperluan mendesak masyarakat luar bandar, menandakan satu lagi komitmen yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh Kerajaan Negeri.
Kemiskinan telah menjadi isu berterusan bagi Sabah dan topik yang selalu digunakan oleh pembangkang untuk memancing sentimen dan sokongan orang ramai.
Joniston menyatakan bahawa pada masa lalu, Sabah mempunyai menteri Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar selama bertahun-tahun, tetapi masalah itu berterusan.
“Janganlah kita menuding jari siapa yang bersalah dalam masalah kemiskinan yang berterusan di Sabah tetapi bekerjasama untuk mencari penyelesaiannya,” kata Bangkuai yang juga Adun Kiulu dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Kelmarin, Rafizi mendedahkan di Parlimen bahawa kemiskinan tegar di Sabah adalah enam kali ganda purata negara dan mencatatkan kadar kemiskinan tegar di Sabah berada pada 1.2 peratus, berbeza dengan kadar nasional 0.2 peratus.


































